Pak Nil mahu ikut jejak Sudirman

Pak Nil mahu ikut jejak Sudirman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan Datuk Sudirman Haji Arshad yang berjaya dalam pelajaran serta karier seni, mendorong artis versatil, Datuk Aznil Nawawi untuk mengikut jejaknya.

Aznil, 64, atau Pak Nil berkata, impian Sudirman untuk menjadi bintang itu adalah satu benda yang diikutinya.

“Saya nak jadi penyanyi, suara saya tak seberapa. Tetapi ayah pernah cakap, ayah kata, kalau nak jadi penyanyi (pada masa itu, tak ramai artis ataupun tak ada bintang yang masuk universiti) .

“Kecuali Sudirman Haji Arshad. Dan ayah kata, kalau kau nak jadi penyanyi, ayah selalu menentang saya yang terlibat dalam entertainment.

“Jadi saya nak, daripada sekolah memang pentas itu adalah tempat yang membuat saya begitu suka pergi sekolah.

“Bukan pelajaran pada awalnya. Nak pergi sekolah sebab nak perform atas pentas. Bukan sebab cikgu matematik, bukan sebab cikgu sains, bukan sebab pelajaran sejarah, atau ilmu alam (geografi) ketika itu.

“Ayah kata, kalau awak nak jadi bintang, awak jadi macam Sudirman. Sudirman masuk Universiti Malaya,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis

penghargaan legasi Allahyarham Sudirman semalam.

Aznil berkata, bermula dari situ dia mengubah hala tuju hidupnya daripada sekadar seorang lelaki yang tidak mempunyai impian dan sering berfikir tentang kegagalan di sekolah, kepada untuk menjadi seorang bintang dengan segulung ijazah di tangan.

“Dan saya berjaya melakukannya. Saya memasuki Universiti Malaya, tiada universiti lain, malah saya secara spesifik berkata yang saya mahu masuk Universiti Malaya kerana saya mahu menjadi seperti Sudirman Haji Arshad.

“Dan saya lulus dengan cemerlang, tetapi bukan dalam bidang undang-undang, sebaliknya di Fakulti Ekonomi Universiti Malaya.

“Bermula dari saat itu, saya rasa seolah-olah saya berguru dengan arwah walaupun tidak secara fizikal berhadapan mata dengan beliau, malah saya tidak pernah bercakap pun dengannya. Tidak pernah. Saya belajar dari jauh” katanya.

Menurutnya, dia melihat setiap sisi sudut idolanya itu dan mempraktikannya sehingga kini.

“Saya lihat bagaimana pakaiannya. Saya lihat aura dia. Saya lihat cara dia bercakap. Saya lihat lenggok badannya. Saya lihat kejujuran dia. Saya lihat kepada kasih sayang dia bercakap dengan orang.

“Saya lihat cara dia berkomunikasi dengan semua yang ada di hadapan dia. Kejujuran dia adalah seorang yang sangat luar biasa. Jadi, saya mengidolakan dia dari jauh.

“Saya kehilangannya pada ketika saya menapak untuk menjadi bintang, saya bekerja di TV3 sebagai wartawan. Ketika itu, saya sedar tidak dapat bersama untuk menemubual apa lagi untuk mendekati susuk tubuh kecil yang penuh bakat luar biasa itu.

“Namun, saya banyak berkawan dengan rakan-rakan beliau antaranya Datuk Habsah Hassan (Kak Chah), bekas wartawan, Intan Zabidin dan Saodah Ismail serta ramai lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top