Bidang perubatan kembara boleh jana ekonomi negara

Bidang perubatan kembara boleh jana ekonomi negara

nurul_husna@mediaprima.com.my

FOTO NURUL NABILA AZHARI

Kuala Lumpur: Malaysia perlu memperkasakan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang perubatan kembara (travel medicine) sebagai langkah proaktif memantapkan sistem perkhidmatan kesihatan berorientasikan pencegahan di negara ini.

​Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu amat kritikal memandangkan bilangan rakyat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara melonjak tinggi, namun kesedaran terhadap kesihatan pra-perjalanan masih berada pada tahap yang membimbangkan.​ Beliau memetik laporan Kementerian Kewangan di Parlimen yang mendedahkan sebanyak 66.6 juta perjalanan ke luar negara direkodkan rakyat Malaysia pada tahun 2025, dengan nilai perbelanjaan mencecah RM61.4 bilion.

​”Bagaimanapun, satu kajian tempatan mendapati hanya 40.5 peratus sahaja pengembara yang mendapatkan nasihat perubatan dan kesihatan sebelum memulakan perjalanan mereka.

“Sementara itu, hanya 52.8 peratus yang menerima suntikan vaksinasi pra-perjalanan.​ Statistik ini menjadikan bidang perubatan kembara sebagai antara cabang perkhidmatan kesihatan yang perlu diberi perhatian serius,” katanya ketika berucap pada Seminar Perubatan Kembara ke-2 yang berlangsung di IMU University di sini, tadi.

​Dr. Dzulkefly menjelaskan bahawa perubatan kembara turut memainkan peranan besar dalam menguruskan risiko kesihatan perhimpunan mega, khususnya membabitkan ratusan ribu umat Islam dari Malaysia yang berkumpul di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji dan umrah setiap tahun.

​Menurut beliau, pergerakan massa yang padat ini membawa risiko epidemiologi yang unik.

Menguruskannya dengan berkesan bukan sekadar isu logistik, malah menjadi asas kepada keselamatan kesihatan global seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). ​

Selain itu, ekosistem perubatan kembara yang mampan juga bertindak sebagai pelindung kepada fasiliti kesihatan domestik daripada terbeban dengan kemasukan pelancong asing.

​”Tahun lalu sahaja, Malaysia menerima kehadiran 42.2 juta pelancong asing. Jika hanya lima peratus daripada pelawat ini mengalami masalah kesihatan ringan, dianggarkan hampir dua juta individu akan menggunakan sumber penjagaan kesihatan primer kita seperti klinik swasta (GP) dan farmasi komuniti.​

“Oleh itu, dengan menguruskan keperluan kesihatan pelancong ini secara strategik, bidang ini secara langsung mampu melindungi kapasiti, daya tahan dan kestabilan infrastruktur penjagaan kesihatan domestik kita,”katanya.

​Sementara itu, Pengerusi Seminar terbabit Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman menyifatkan semua pemegang taruh daripada pengamal perubatan, penyelidik, pakar akademik, agensi sehinggalah pihak korporat perlu mendalami pengetahuan dalam perubatan kembara.

​Beliau menjelaskan bidang ini merangkumi komponen penting seperti konsultasi pra-perjalanan, penilaian risiko, profilaksis yang sesuai, vaksinasi, serta perlindungan insurans yang menjadi nadi kepada sistem perubatan pencegahan.

​”Dari perspektif kesihatan awam, menguruskan populasi berisiko (66 juta pengembara) yang jumlahnya hampir dua kali ganda daripada keseluruhan populasi negara kita adalah satu tanggungjawab yang amat besar.

“Risiko ini merangkumi bahaya alam sekitar, kecederaan, sehinggalah kerumitan menguruskan pengembara yang menghidap penyakit tidak berjangkit dan kanser,” katanya.

​Dari sudut keselamatan kesihatan pula, beliau memberi amaran bahawa pengembara berisiko membawa masuk jangkitan eksotik, termasuk jangkitan zoonotik yang baharu muncul apabila mereka pulang ke tanah air. ​ Prof Datuk Dr Lokman mendedahkan bahawa pada masa ini, tiada mekanisme pengawasan sindromik (syndromic surveillance) yang dilaksanakan dalam kalangan pengamal perubatan am untuk mengesan dan melaporkan penyakit dalam kalangan pengembara yang pulang. ​

Sehubungan itu, beliau menegaskan pengukuhan perubatan kembara bukan lagi satu pilihan, sebaliknya ia benteng penting negara dalam kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman pandemik global pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top