Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencuri perhatian apabila menyindir segelintir ahli politik yang dilihat gemar mencipta imej popular di media sosial demi meraih sokongan rakyat.
Dalam sesi Podcast Bual Santai Petang DYAM Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), baginda menegaskan bahawa golongan muda perlu lebih bijak menilai pemimpin dan tidak mudah terpengaruh dengan imej yang dipaparkan di platform digital.
Trend populis gemar berlakon
Menurut baginda, trend meminati ahli politik yang bersifat populis dan gemar ‘berlakon’ di media sosial perlu diubah kerana ia tidak semestinya mencerminkan kemampuan sebenar seseorang untuk mentadbir.
“Sebagai ahli politik, mereka terpaksa menguar-uarkan dalam media sosial untuk memastikan ada engagement dengan rakyat dan awak nampak mereka punya kerja keras. Itu saya faham.
“Tapi sebelum buat apa-apa keputusan, buat penilaian dulu sebab kita ramai ‘Hollywood’, paling ‘Hollywood’ sekali yang dekat Muar. Jadi saya tak suka dengan ‘Hollywood’, tapi saya suka orang yang melaksanakan tugas yang boleh memperbaiki hidup rakyat,” titah baginda.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada seorang pemimpin politik yang mempunyai kaitan dengan kawasan Parlimen Muar, sekali gus mengundang perhatian ramai.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail turut mengingatkan rakyat Johor supaya membuat penilaian secara matang terhadap pemimpin yang dipilih, khususnya mereka yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir.
Baginda bertitah, pengalaman bekerja dengan pelbagai pihak sebelum ini menunjukkan tidak semua individu yang lantang bersuara mampu melaksanakan tugas dengan baik apabila diberikan kuasa.
“Untuk mencari isu, mencari salah dan menjadi pembangkang memang senang, tetapi apabila diberi kerusi untuk mentadbir, bukan semua orang mampu mentadbir. Rakyat Johor perlu bijak membuat penilaian,”
![]()
Kredit foto: FB Crown Prince Of Johor
Istana belanjakan RM100 juta setiap tahun
Dalam pada masa sama, baginda menegaskan bahawa tanggungjawab utama yang dipikul ketika ini adalah memastikan pembangunan Johor terus berjalan dan kebajikan Bangsa Johor sentiasa terpelihara melalui kerjasama dengan kerajaan yang mampu bekerja.
Tunku Mahkota Ismail turut mendedahkan bahawa keluarga diraja Johor membelanjakan lebih RM100 juta setiap tahun bagi pelbagai bentuk bantuan termasuk kepada hospital, pendidikan, golongan memerlukan, bekalan makanan dan tajaan menunaikan ibadah haji.
“Tetapi awak tidak nampak kami menguar-uarkan dalam media sosial kerana perbuatan itu dilakukan dengan ikhlas,” titah baginda lagi.
![]()
Kredit foto: FB Crown Prince Of Johor
Sumber: Facebook Media Digital Johor




