Penjaga gol Curacao cipta rekod Piala Dunia

Penjaga gol Curacao cipta rekod Piala Dunia

ELOY Room mempamerkan aksi luar biasa apabila mencipta rekod baharu Piala Dunia menerusi 15 penyelamatan untuk membantu Curacao mengutip mata pertama dalam sejarah kejohanan itu selepas mengikat Ecuador tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan F.

Penjaga gol berusia 37 tahun itu menjadi penghalang utama kepada Ecuador yang menguasai sebahagian besar permainan, sekali gus menggagalkan hasrat Ecuador untuk meraih kemenangan penting dalam usaha memburu tiket ke pusingan kalah mati.

Room mula mencuri tumpuan seawal minit ketiga apabila menggagalkan percubaan penyerang berpengalaman Ecuador, Enner Valencia sebelum terus mempamerkan ketangkasan luar biasa sepanjang perlawanan.

Beliau kemudian menyelamatkan beberapa lagi percubaan berbahaya daripada Valencia, Gonzalo Plata, John Yeboah dan Kevin Rodriguez bagi memastikan gawang Curacao kekal kebal sehingga wisel penamat.

Rekod 15 penyelamatan yang dilakukannya dalam tempoh 90 minit tanpa masa tambahan kini menjadi yang tertinggi dalam sejarah Piala Dunia, sekali gus mengangkat namanya sebagai wira buat negara Caribbean itu.

Di sebalik tekanan berterusan Ecuador, Curacao turut mencipta beberapa peluang menerusi Leandro Bacuna, Juninho Bacuna dan Livano Comenencia, namun gagal memecah kebuntuan.

Keputusan seri itu memberi makna besar buat Curacao yang dibelasah Jerman 7-1 dalam penampilan sulung mereka sebelum ini, apabila berjaya mengutip mata pertama di pentas Piala Dunia.

Bagi Ecuador pula, ketumpulan jentera serangan sekali lagi menghantui pasukan itu apabila mereka kini gagal menang dalam empat perlawanan Piala Dunia berturut-turut dan berkemungkinan perlu menewaskan Jerman pada aksi terakhir kumpulan untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.

Scroll to Top