PRN Johor: MUDA sah tanding 4 kerusi

PRN Johor: MUDA sah tanding 4 kerusi

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini mengesahkan bakal bertanding empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Semalam, MUDA sudah pun mengumumkan Rashifah Aljunied, 27, sebagai calon DUN Puteri Wangsa, yang sebelum ini disandang oleh Presiden MUDA, Amira Aisya.

Pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana MUDA bagi kempen PRN Johor di sini malam ini, Amira mengumumkan tiga lagi calon dari parti berkenaan untuk PRN DUN Johor.

Mereka adalah Premanand, 53, (Bukit Batu); Amir Jack, 30, (Maharani) dan Ainie Haziqah Shafii, 36, (Simpang Jeram).

Untuk rekod, Rashifah adalah pegawai khas kepada Amira, manakala Premanand berkhidmat sebagai perunding syarikat swasta.

Amir pula adalah pegawai khas kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman dan Ainie Haziqah adalah Setiausaha Agung MUDA.

Pada majlis sama, kesemua calon diwajibkan untuk menandatangani perjanjian atau akujanji.

Akujanji itu mengkehendaki semua calon MUDA untuk membawa suara rakyat Johor.

Selain itu, mereka perlu bekerja keras untuk mengangkat dasar mesra rakyat kepada rakyat Johor.

Majlis menandatangani akujanji itu dibuat di hadapan kepimpinan tertinggi MUDA.

Sementara itu, Amira mengumumkan kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai blok progresif untuk PRN DUN Johor.

“MUDA mengambil keputusan untuk bersama bergerak PRN Johor sebagai blok progresif bersama PSM.

“Kita yakin PSM akan meletakkan satu calon pada PRN Johor. Jadi biarkan mereka umumkan, termasuk di mana mereka akan bertanding,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top