am@hmetro.com.my
Machang: Dua lelaki yang ditahan berhubung kehilangan dua sepupu perempuan Khamis lalu, sebelum ditemui selamat di inap desa, di sini pada Sabtu, disambung reman tiga hari lagi.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, kedua-dua suspek yang berusia 16 dan 17 tahun akan menjalani tahanan reman hingga Khamis.
“Keseluruhan lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan kini direman hingga Khamis. Setakat ini tiada tangkapan baharu.
“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, dua sepupu remaja yang dilaporkan hilang sejak Khamis ditemui selamat di Machang pada Sabtu, kira-kira 32 jam selepas keluarga mereka membuat polis.
Remaja terbabit yang berusia 15 dan 16 tahun ditemui di sebuah inap desa di Machang yang terletak 25 kilometer dari kediaman mereka di Kampung Baloh dekat Kok Lanas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




