lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) secara rasmi diterima sebagai parti komponen baharu bagi gabungan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemasukan dua parti itu diputuskan dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN yang berlangsung selama dua jam malam tadi.
“Mesyuarat tadi membincangkan dua agenda sahaja. Pertama, keanggotaan PN dan kedua mengenai agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Untuk agenda pertama, mesyuarat setuju meluluskan permohonan parti PEJUANG dan PCM untuk menganggotai PN,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini.
Bagaimanapun ketika ditanya mengenai keanggotaan Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Ahmad Samsuri berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
WAWASAN ditubuhkan susulan krisis dalaman BERSATU yang menyaksikan Pengasas Gerakan RESET Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilantik sebagai Presiden, manakala jawatan Pengerusi diberikan kepada tokoh politik veteran yang juga bekas menteri Tan Sri Rais Yatim.
Kepimpinan pusat parti itu diterajui kombinasi tokoh politik veteran, bekas menteri, Ahli Parlimen dan golongan profesional.
© New Straits Times Press (M) Bhd




