Tidak semua luka perlu disembunyikan dan tidak semua perjalanan perlu dilalui seorang diri.
Ada masanya, jauh dari hiruk pikuk kehidupan menjadi ruang terbaik untuk manusia menemukan semula diri mereka.
Itulah kisah yang diketengahkan dalam drama Korea terbaru Azure Spring di Tonton bermula 10 Jun lalu.
Drama enam episod ini mengangkat kisah dua insan yang dipertemukan secara tidak dijangka di sebuah pulau terpencil, ketika masing-masing cuba berdamai dengan masa lalu dan meneruskan kehidupan.
Diadaptasi daripada webtoon karya Jang Dukhyun dan diarahkan Jung Hunsoo, Azure Spring menggabungkan elemen romantik, penyembuhan emosi dan pencarian makna hidup dalam sebuah penceritaan yang dekat dengan realiti masa kini.
Watak Anna dilakonkan Kim Ye rim atau Yeri daripada kumpulan Red Velvet, seorang bekas juara renang remaja kebangsaan yang kehilangan arah selepas kerjayanya terhenti akibat kecederaan.
Dalam usaha mencari ketenangan, Anna pulang ke kampung halaman ibunya di sebuah pulau yang jauh daripada kehidupan bandar.
Di situ, dia bertemu Deokhyun lakonan Kang Sang-jun, bekas anggota pasukan khas UDT yang memilih hidup menyendiri selepas dibayangi trauma silam.
Pertemuan yang tidak dirancang itu akhirnya membawa mereka menyertai kehidupan sebagai haenam dan haenyeo, penyelam lelaki dan wanita yang mencari hasil laut di dasar lautan.
Berlatarbelakangkan lautan yang tenang dan kehidupan desa yang sederhana, perjalanan mereka perlahan-lahan berubah.
Dari sekadar bertahan hidup, mereka mula belajar menerima, melepaskan dan memaafkan diri sendiri.
Setiap selaman ke dasar laut menjadi simbol kepada usaha menyingkap luka yang lama terpendam, sebelum kembali timbul dengan harapan baru.
Selain Anna dan Deokhyun, drama ini turut dibintangi Ko Ju hee dan Jung Hyun min yang melengkapkan perjalanan emosi tersebut.
Azure Spring boleh ditonton secara eksklusif di Tonton dengan kesemua enam episod tersedia serentak bermula jam 12 tengah malam.
Strim sekarang secara eksklusif di Tonton untuk menyaksikan perjalanan dua jiwa yang belajar untuk sembuh di sebalik lautan biru.
© New Straits Times Press (M) Bhd




