zatuliffah@hmetro.com.my
Selayang: Management and Science University (MSU) melalui Yayasan MSU (YM) terus komited menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan menyumbang sebanyak RM60,000 kepada pusat pendidikan Tingkatan Enam cemerlang STPM 2025.
MSU dalam satu kenyataan berkata, usaha itu selaras dengan penekanan KPM di bawah Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM) 2024-2030 bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokaliti.
Ia sekali gus mengekalkan pendidikan sebagai sektor utama kerajaan.
Katanya, sumbangan berjumlah RM60,000 itu diagihkan kepada enam Kolej Tingkatan Enam dan enam Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 Terbaik Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dengan masing-masing menerima RM5,000 tunai.
“Yayasan MSU turut menyediakan biasiswa bernilai RM15,000 kepada mana-mana calon Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 yang diterima masuk ke MSU bagi program Ijazah Sarjana Muda,” katanya dalam kenyataan di sini.
Turut menerima penghargaan ialah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 (Kategori Orang Asli), Hazaril Hakimi Hassan dari SMK Temerloh, Pahang, yang menerima RM1,000 berserta biasiswa penuh Yayasan MSU atas pencapaian 4A (Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00).
Inisiatif yang julung kali diperkenalkan bagi kohort STPM 2025 ini bertujuan menarik lebih ramai calon mengikuti pengajian STPM serta memperkukuhkan ekosistem prauniversiti negara khususnya pelajar Tingkatan Enam.
Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warga Asing (SKBMW) itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengerusi Majlis Peperiksaan merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad serta Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




