Mengaku kerja dengan orang Thailand untuk seludup beras

Mengaku kerja dengan orang Thailand untuk seludup beras

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lelaki warga emas berusia 62 tahun ditahan bersama 700 kilogram (kg) beras pelbagai jenis serta 100kg beras pulut dipercayai diseludup di Kampung Batu Hitam di Tanah Merah, semalam.

Dia ditahan dalam operasi Op Taring Wawasan Kelantan oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 8.30 malam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pasukannya mengesan suspek yang memandu Proton Wira Aeroback ketika membuat rondaan di Kampung Lalang Pepuyu.

Katanya, suspek bertindak memecut laju ke arah Kampung Panglima Bayu sebaik menyedari pihak berkuasa dan diekori rapat pasukan hingga ke kawasan Kampung Batu Hitam.

“Suspek kemudian berhenti di bahu jalan dan cuba melarikan diri tetapi sempat dikejar dan berjaya ditahan anggota.

“Pemeriksaan pada tubuh tidak menemui barang larangan, namun pemeriksaan ke atas kereta menjumpai pelbagai jenis beras dan beras pulut. Semua barangan dan kereta bernilai keseluruhan RM13,500 dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek dan barang kes dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu untuk tindakan mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Terdahulu katanya, dalam soal siasat suspek mengaku beras itu diseludup masuk dari Thailand melalui Pangkalan Haram Pisang di Kampung Lalang Pepuyu untuk dihantar ke Paloh Rawa di Machang.

“Dia juga mengaku menjalankan kegiatan itu untuk satu ‘trip’ dalam sehari dan bekerja dengan individu warganegara Thailand,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top