Korea Selatan hanya perlu satu mata 

Korea Selatan hanya perlu satu mata 

MONTERREY: Aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia antara Korea Selatan dan Afrika Selatan di Stadium Monterrey, esok, dijangka menjadi pertembungan hidup mati yang bakal menentukan hala tuju kedua-dua pasukan ke pusingan kalah mati.

Dengan Mexico sudah mengesahkan status juara Kumpulan A selepas memenangi dua perlawanan pertama, tumpuan kini terarah kepada perebutan tempat kedua yang masih terbuka.

Korea Selatan berada di landasan lebih baik apabila mengumpul tiga mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech sebelum tewas tipis 0-1 kepada Mexico.

Afrika Selatan pula hanya memiliki satu mata selepas seri 1-1 dengan Czech dan tewas 0-2 kepada Mexico.

Justeru, Korea Selatan hanya memerlukan keputusan seri untuk mengukuhkan kedudukan mereka, sementara Afrika Selatan wajib menang jika mahu menghidupkan impian melangkah ke pusingan 32 terbaik.

Ketua jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo menyedari ancaman yang bakal dibawa skuad Bafana Bafana dan menggesa anak buahnya mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kami perlu kekal fokus dan berdisiplin tinggi sepanjang perlawanan. Afrika Selatan mempunyai pemain yang pantas dan mampu memberi ancaman jika kami hilang tumpuan.

“Memandangkan ini perlawanan terakhir, kami mahu menang. Saya sudah menganalisis lawan dengan teliti sepanjang baki masa rehat, berkongsi kekuatan dan kelemahan mereka dengan pemain, dan telah membuat persediaan.,” kata Myung-bo.

Sementara itu, bagi pengendali Afrika Selatan, Hugo Broos tetap optimis pasukannya mampu mencipta kejutan walaupun berdepan tekanan untuk menang.

“Jika kami bermain pada tahap terbaik, kami mampu mencipta kejutan di Piala Dunia dan mengalahkan mana-mana pasukan,” kata Broos.

Dalam format baharu 48 pasukan, kedudukan ketiga terbaik juga berpeluang mara, menjadikan setiap gol dan mata cukup berharga.-AGENSI

Scroll to Top