SHAH ALAM – Grup Buku Karangkraf (GBK) menghantar seramai lima orang ke Seoul International Book Fair (SIBF) 2026 di COEX, Seoul, Korea Selatan dari 24 hingga 28 Jun ini.
Delegasi itu diketuai oleh Pengurus Penerbitan, Azzah Abdul Rahman bersama Strategis Kandungan dan Pemerolehan, Siti Aisyah Hussain; Editor Kanan Imprint, Mazuen Yahaya serta dua Pereka Grafik Kanan, An Nuur Aisyah Zamakhsari dan Siti Darina Muhamad.
Azzah berkata, sepanjang lima hari penganjuran pesta buku antarabangsa terbesar di Korea Selatan itu, delegasi Karangkraf akan mengadakan sesi pertemuan dengan penerbit, ejen sastera dan penulis tempatan yang bekerjasama dengannya.
Menurut beliau, penyertaan yang merupakan kali keempat ini juga akan menjadi platform penting meneroka peluang menerbitkan karya tempatan di Korea Selatan.
“Selain mengukuhkan hubungan sedia ada, kami juga mahu buka peluang bawa karya Malaysia ke pasaran antarabangsa.
“Selepas kejayaan novel terjemahan Korea, Selamat Datang ke Kedai Buku Hyunam-Dong, tahun ini GBK menjalin kerjasama dengan dua lagi penulis Korea Selatan iaitu Profesor Yang Seung-yoon menerusi buku Sejarah Dua Korea: Lima Ribu Tahun Sebelum Fenomena K dan Dr Kenny Bae Kihyung, buku Fenomena K: Bagaimana Korea Mendunia.
“Kedua-dua penulis tersebut memilih untuk bekerjasama dengan Karangkraf bagi memperluaskan penerbitan karya mereka di Malaysia kerana yakin dengan kepakaran syarikat dalam industri penerbitan tempatan,” katanya kepada Sinar Harian.
SIBF merupakan antara acara perbukuan paling berpengaruh di Asia yang menghimpunkan penerbit, penulis, ejen sastera, pereka dan penggiat industri kreatif dari seluruh dunia.
Menurut Azzah, menerusi delegasi ini mereka juga berpeluang mempelajari perkembangan terkini industri penerbitan Korea Selatan.
Jelasnya, ia termasuk teknologi baharu, trend pembacaan dan inovasi dalam penghasilan selain pemasaran kandungan serta harta intelek.
“Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan GBK untuk memperkukuh jaringan antarabangsa, meneroka peluang urus niaga hak cipta dan membawa pulang idea, pengetahuan serta amalan terbaik industri penerbitan global ke Malaysia.
“Kami berharap kerjasama dalam bidang penerbitan buku ini dapat mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Korea Selatan, di samping menjadi medium pertukaran kemahiran, ilmu serta teknologi antara kedua-dua negara,” ujarnya.



