Guru tidak mengaku amang seksual fizikal bekas pelajar

 Guru tidak mengaku amang seksual fizikal bekas pelajar

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap bekas pelajar lelakinya, awal bulan ini.

Muhammad Izzudin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di sebuah hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, pada pukul 8 pagi, 4 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(d) akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM12,000 dan seorang penjamin.

Muhammad Izzudin juga diarahkan melapor diri di Balai Polis Jerteh, Besut pada awal setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 27 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh pula diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim. 

Terdahulu, seorang guru lelaki dilaporkan diberkas polis bagi membantu siasatan dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah. – UTUSAN

Scroll to Top