mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Nak ‘session’ itu boleh, tapi tak perlu bergambar sama. Dia kan anggota Kristal. Saya dah pesan dengan dia, minta turunkan gambar itu,” kata pemain gitar, Mohd Rodi Baharudin atau Rody.
Rody yang juga pengasas Kristal, berkata demikian sebagai mengulas lampu hijau yang diberikan kepada adiknya, Acap untuk menjadi pemain dram kumpulan Kristal X yang diterajui oleh Lan, bekas vokalis asal mereka.
Menurutnya, penampilan Acap dalam gambar akan menimbulkan kekeliruan kerana peminat akan menganggap dia anggota kedua-dua band ini.
“Kalau benda itu (gambar) berlaku secara tak langsung, tak ada bendalah, macam kalau dah dalam persembahan. Kalau setakat nak session, bagi saya tak ada masalah.
“Itu terpulang pada dialah, dia boleh fikir sendiri dah kan. Cuma daripada segi gambar untuk poster atau pun disuruh oleh media, dia kenalah pandai menolak.
“Mungkin mereka boleh cari ‘drummer’ baru. Acap pun tak dibenarkan untuk ‘post up’ gambar yang bersama mereka walaupun sekadar suka-suka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas berkenaan hubungan mereka adik beradik, Rody berkata, Acap tidak pernah menimbulkan masalah.
“Kami okey saja beraksi sebagai satu band. Cuma saya pesan sajalah kalau ada poster, gambar, yang dia ada dalam itu, kena turunkanlah. Pihak sana kena keluarkanlah.
“Kalau tak boleh ikut, kenalah cari pemain dram baru. Acap cuma session. Acap pun tak ada cerita apa-apa berkenaan band sana. Dia jumpa saya buat biasa-biasa saja, tak ada pun dia nak kata.
“Ini okeylah. Dia tahu saya punya perangai macam mana kan. Apapun mereka boleh cari pemain dram baru,” katanya.
Kristal kini dianggotai Rody, Ewal (vokalis), Kechiq (bass) dan Acap (dram).
© New Straits Times Press (M) Bhd




