am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Kalau suami saya masih hidup, tentu dia juga antara insan yang paling gembira apabila melihat anak kami ke jenjang pelamin,” luah pelakon senior, Laila Nasir.
Laila, 55, meluahkan rasa sebak dan terharu apabila selamat menerima menantu sulungnya dalam sebuah acara tertutup di sebuah hotel di ibu kota pada 6 Jun lalu.
Putera sulung Laila, Badrul Mukhriz Yeop Abdullah, 31, selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Natilia Fazdina Khaizatul Fairuz.
Pasangan sama padan sama cantik yang masing-masing berkhidmat dalam bidang pentadbiran itu kemudiannya diraikan dalam satu majlis resepsi di sebuah premis acara di Puchong pada 20 Jun lalu.
Pelakon yang melonjakkan namanya menerusi watak Mona dalam drama rantaian Nur ini mengakui, perasaannya bercampur baur apabila pertama kali melepaskan anak ke fasa baharu.
“Perasaan sedih melepaskan anak sulung ke pangkuan wanita yang kini bergelar isterinya turut bercampur baur diiringi dengan tangisan kegembiraan.
“Tentunya, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat sedari dulu bahawa anak yang ditatang bagai minyak yang penuh ini akan bergelar suami orang dan memikul tanggungjawab lain,” katanya.
Berkongsi lanjut sebagai seorang ibu tunggal, wanita kelahiran Machang, Kelantan ini tidak menafikan proses melepaskan anak lelaki bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilalui.
“Ironinya, ia mengambil masa bagi golongan ibu seperti saya yang kali pertama melalui fasa ini. Tambahan pula, saya bergelar ibu tunggal.
“Tidak mudah untuk membesarkan dua anak serta menguruskan semuanya sendiri. Namun dengan sokongan ibu serta adik-beradik saya yang lain, semuanya berjalan lancar. Malah persiapan perkahwinan ini pun turut dibantu mereka,” katanya yang baru selesai penggambaran sebuah drama di Lenggong, Perak.
Dalam pada itu, bintang filem Bayangan Maut dan Harry Boy ini turut menitipkan pesanan dan doa agar perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke syurga.
“Hidup berumah tangga ini banyak ragamnya. Namun, apa yang utama kedua mereka kenalah menjaga keharmonian dan sering bertolak ansur. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa,” katanya lagi.
Terdahulu, majlis pernikahan tertutup itu dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai, sebelum berita gembira itu mula dikongsi oleh rakan selebriti di media sosial.
Pasangan pengantin baharu ini dijadualkan bakal diraikan dalam majlis bertandang di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 27 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




