Vienna: Formula Satu (F1) berpotensi menyaksikan satu lagi perubahan menarik di Austria, hujung minggu ini selepas Lewis Hamilton menamatkan dominasi Mercedes dengan kemenangan sulungnya bersama Ferrari di Grand Prix (GP) Sepanyol.
Litar indah Spielberg akan menjadi tuan rumah pusingan kelapan musim ini dengan Mercedes dilihat sebagai pilihan utama di atas kertas selepas meraih enam kemenangan, termasuk lima berturut-turut oleh remaja Itali dan pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli serta tujuh petak utama setakat ini.
Mercedes memiliki rekod cemerlang di Spielberg dan George Russell muncul juara di situ pada 2024, namun juara dunia tujuh kali, Hamilton, kini semakin meningkat prestasinya selepas meraih dua tempat kedua dan satu kemenangan dalam tiga perlumbaan terakhir.
Juara bertahan McLaren, Lando Norris memenangi perlumbaan dari petak utama tahun lalu, manakala rakan sepasukannya dari Australia, Oscar Piastri mencatat pusingan terpantas.
McLaren adalah pasukan paling berjaya di litar itu dengan tujuh kemenangan.
Kemenangan pertama McLaren pada musim 2026 akan memberikan suntikan semangat menjelang GP Britain di Silverstone minggu depan.
Sementara itu, Max Verstappen dari Red Bull memiliki rekod empat kemenangan di litar milik pasukannya sendiri, manakala rakan sepasukan Hamilton di Ferrari, Charles Leclerc pernah menang di Spielberg pada 2022 dan menduduki tempat ketiga tahun lalu.
Dia pastinya turut berazam untuk kembali berdiri di puncak podium.
Tambahkan pula, reaksi Antonelli selepas tersingkir akibat masalah mekanikal di GP Barcelona-Catalunya serta keinginan Russell untuk merapatkan jurang dengan rakan sepasukannya dan perlumbaan Ahad ini mempunyai semua ramuan untuk menjadi pertarungan epik.
“Ia tidak akan menjadi mudah, tetapi saya sudah tidak sabar untuk perlumbaan seterusnya kerana saya benar-benar mahu kembali ke tahap prestasi sebelum ini, seperti yang kami capai sebelum perlumbaan terakhir,” kata Antonelli selepas kekecewaannya di Sepanyol.
Pelumba berusia 19 tahun itu kini mendahului 41 mata di hadapan pencabar terdekat, Hamilton manakala Leclerc turutt gagal meraih sebarang mata di Barcelona bukan disebabkan kesalahannya sendiri dan perlu segera mengurangkan jurang yang semakin melebar dengan pelumba Britain itu.
Sekiranya Hamilton atau Leclerc menang sekali lagi, ia akan menjadi kemenangan ke-250 Ferrari dalam F1.
Mercedes mengakui ancaman daripada Ferrari, dengan ketua pasukan, Toto Wolff menyifatkan perlumbaan di Barcelona sebagai satu peringatan realiti dan mengakui pasukan itu mungkin perlu mengubah pendekatan mereka pada masa depan berikutan kebimbangan berterusan mengenai kebolehpercayaan jentera.
“Pasukan lain semakin pantas mengejar dan kami perlu memberikan tindak balas,” kata Wolff yang pasukannya akan membawa beberapa penambahbaikan ke Austria dengan fokus kepada prestasi dan kebolehpercayaan.
“Kami masih bersaing untuk kedua-dua kejuaraan, tetapi perlu meningkatkan prestasi jika mahu muncul juara pada penghujung musim. Kelemahan utama kami setakat ini adalah kebolehpercayaan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




