Wanita warga emas gigih kandar durian turun bukit

Wanita warga emas gigih kandar durian turun bukit

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Walaupun sudah menjangkau usia emas namun seorang ibu tunggal masih mampu memikul lebih 100 kilogram buah durian untuk dibawa turun dari bukit.

Rohimah Dollah, 63, dari Kampung Lingai, dekat sini, berkata, dia akan ke kebun pada 7 pagi untuk memungut dan membawa keluar durian dari kebun yang terletak di Bukit Durian Ayam.

Menurutnya, setiap pagi dia akan melakukan tiga sesi untuk membawa keluar hasil durian dari kebunnya yang berkeluasan 0.4 hektar.

Katanya, dia terpaksa memanjat bukit setinggi kira-kira 300 meter sebelum sampai ke kebunnya untuk memungut hasil.

“Saya perlu mengandar durian seberat kira-kira 100 kilogram melalui denai di lereng bukit sebelum hasilnya dapat dijual kepada pembeli yang biasanya sudah membuat tempahan.

“Walaupun berat namun saya tiada pilihan kerana kebun berada di atas bukit yang kedudukannya agak tinggi,” katanya.

Menurutnya, setiap pagi dia akan naik dan turun bukit sebanyak tiga kali dan memikul durian untuk dibawa turun.

Katanya, lereng bukit bercuram menyukarkan proses membawa keluar durian kerana perlu melalui laluan licin selain kudrat yang ada agak terbatas.

“Sekiranya hilang imbangan, saya akan melepaskan durian yang di kandar ke tebing bagi mengelak sebarang kecederaan serius berlaku.

“Pengalaman sejak remaja melakukan kerja di di kebun memberi banyak kelebihan buat saya dalam menentukan situasi selamat atau tidak untuk membawa turun durian dalam kuantiti banyak dan berat,” katanya.

Seorang lagi pekebun, Wan Minah Wan Deraman, 75, berkata, dengan kudrat yang semakin berkurang dia hanya mampu memikul durian seberat 50 hingga 70 kilogram durian untuk dibawa turun dari bukit.

“Dahulu ketika kudrat masih kuat saya mampu memikul durian dalam kuantiti lebih banyak dan berat namun sekarang saya tidak membawa turun durian dengan banyak atas faktor tenaga dan kekuatan tidak seperti dahulu.

“Kehidupan saya di kebun sejak remaja dan sudah lali dengan situasi memikul durian untuk dibawa turun dari bukit yang kedudukannya agak jauh dari jalan utama.

“Rutin ini saya lakukan saban tahun sekiranya hasil durian ‘menjadi’ pada tahun-tahun tertentu kerana ada juga musim durian tidak membuahkan hasil,” katanya.

Menurutnya, walaupun berat namun ia sudah menjadi pekerjaan kami di kampung serta menjadi rutin tahunan buat pekebun di kampung ini.

“Alhamdulillah, walaupun sudah menjangkau usia emas namun saya masih mampu memikul durian dalam kuantiti yang banyak dan berat,” katanya.

Wan Aminah berkata, memikul durian sambil berjalan menuruni bukit bukan kerja yang mudah kerana berdepan risiko terjatuh sekiranya laluan licin dan berbatu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top