Lawatan rasmi dinilai berdasarkan hasil, bukan jumlah perjalanan – MoF

Lawatan rasmi dinilai berdasarkan hasil, bukan jumlah perjalanan – MoF

PUTRAJAYA – Kerajaan menjelaskan bahawa langkah penjimatan yang diperkenalkan bukanlah bertujuan untuk menghentikan semua perbelanjaan atau semua perjalanan rasmi pemimpin dan pegawai.

Sebaliknya, kata Kementerian Kewangan (MoF), ia merupakan langkah pengurusan fiskal yang bersasar bagi membantu menampung sebahagian daripada peningkatan mendadak perbelanjaan subsidi akibat krisis Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak dunia.

Menerusi kenyataan, kementerian itu menegaskan dalam keadaan dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan bekalan global, terdapat lawatan rasmi yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan strategik negara.

Sebagai contoh, lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini telah membuahkan hasil dalam memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara serta mempelbagaikan sumber bekalan tenaga jangka panjang Malaysia ketika pasaran global masih tidak menentu.

“Begitu juga penyertaan Malaysia dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan dan kerjasama serantau yang penting untuk mempertahankan kepentingan negara, memperkukuh hubungan dengan rakan strategik serta memastikan Malaysia terus mempunyai akses kepada bekalan, pelaburan dan peluang ekonomi,” kata MoF pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, pihaknya mengambil maklum terhadap laporan portal kesihatan yang mempersoalkan lawatan rasmi menteri dan pegawai ke 50 negara dalam tempoh 50 hari ketika langkah penjimatan perbelanjaan sedang dilaksanakan.

Tambah MoF, garis panduan penjimatan perbelanjaan kerajaan yang dikeluarkan baru- baru ini dilaksanakan tanpa menjejaskan sebarang perkhidmatan kritikal kepada rakyat, termasuk sektor kesihatan dan pendidikan.

“Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut tertakluk kepada langkah penjimatan seperti mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara, tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap perancangan pengisian jawatan, pembelian ubat-ubatan, perolehan peralatan perubatan mahupun penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Malah, dalam menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan global, KKM bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah melaksanakan audit pantas bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kritikal sentiasa mencukupi serta sebarang risiko gangguan dapat dikenal pasti lebih awal,” kata kenyataan itu.

Bagi tahun 2026, KKM menyasarkan pelantikan lebih daripada 18,000 petugas kesihatan merangkumi 4,500 Pegawai Perubatan, lebih 3,500 jururawat dan hampir 1,000 penolong pegawai perubatan, selaras dengan perancangan asal tanpa sebarang pengurangan berbanding tahun 2025.

Peruntukan ubat-ubatan juga terus dipertingkatkan kepada RM6.5 bilion pada tahun 2026 berbanding RM6.0 bilion pada tahun 2025. Ini membuktikan bahawa langkah penjimatan tidak menjejaskan keutamaan Kerajaan untuk memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Program Latihan Kepakaran Lanjutan telah disediakan 400 slot dengan peruntukan RM24 juta untuk 2026 berbanding RM21.8 juta tahun 2025.

“Kerajaan kekal komited mengurus kewangan negara secara berhemah. Perbelanjaan yang boleh dikawal diperketat, manakala sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, subsidi dan bantuan rakyat terus dipelihara.

“Pendekatan ini memastikan setiap ringgit digunakan secara optimum bagi menghadapi cabaran global, sambil melindungi kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” kata kenyataan itu.

 

 

Scroll to Top