am@hmetro.com.my
Melaka: Wanita warga China didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas tuduhan memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan dengan penunggang motosikal, enam tahun lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Wu Dong Lian, 43, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh bagi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda selain kesalahan itu diendoskan pada lesen memandunya. Tertuduh kemudian melangsaikan denda berkenaan.
Wu didakwa memandu kereta dengan tidak cermat dan prihatin terhadap pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan dengan motosikal ditunggang Nor Zalik Hassan, 37, di Jalan Limbongan di sini, pada 4.30 petang 12 April 2021.
Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan lebih berat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal berkenaan.
Bagaimanapun, di akhir kes pendakwaan, mahkamah meminda pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan memandu secara berbahaya.
Dalam penghakimannya, Sharda Sheinha memutuskan bahawa selepas meneliti keterangan saksi, eksibit yang dikemukakan serta hujahan kedua-dua pihak, pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan Seksyen 41(1) APJ 1987.
Namun, mahkamah mendapati terdapat bukti mencukupi menunjukkan tertuduh memandu dalam keadaan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa selaras dengan Seksyen 43(1) APJ 1987.
Sehubungan itu, mahkamah menggunakan kuasa di bawah Seksyen 173(h)(ii) Kanun Prosedur Jenayah untuk meminda pertuduhan kepada kesalahan yang lebih ringan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif, manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.
Sepanjang prosiding, seramai tujuh saksi pendakwaan termasuk kakak mangsa dipanggil untuk memberi keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




