Penunggang motosikal maut jatuh jejambat SPE selepas dilanggar SUV

Penunggang motosikal maut jatuh jejambat SPE selepas dilanggar SUV

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penunggang motosikal maut selepas terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter dalam kemalangan di Kilometer 15.8 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) arah Setiawangsa menghala ke Sungai Besi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, mangsa berusia 31 tahun terjatuh dipercayai selepas dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika berteduh daripada hujan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Proton X50 dan dua motosikal termasuk milik mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton X50 yang dipandu wanita tempatan berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar dua motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat berkenaan.

“Kemalangan menyebabkan seorang lelaki tempatan tercampak dan jatuh kira-kira 30 meter ke bawah jejambat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang motosikal dan pemboncengnya masing-masing lelaki tempatan berusia 18 tahun cedera di muka dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Katanya, pemandu kereta berkenaan tidak cedera dan turut didapati negatif ujian saringan alkohol.

“Pemandu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top