PUTRAJAYA – Lima negeri merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita melebihi kadar nasional 56.6 peratus pada 2025, dengan rekod tertinggi di Putrajaya iaitu 79.7 peratus, menurut Statistik Tahunan Tenaga Buruh, Malaysia 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor pula merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kedua tertinggi iaitu 70.7 peratus, diikuti Kuala Lumpur 66.9 peratus manakala Melaka dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan 58.3 peratus.
“Pasaran buruh Malaysia terus mengukuh pada 2025, disokong oleh daya tahan ekonomi yang berterusan dan kedudukan guna tenaga yang semakin baik.
“Kadar pengangguran terus menurun kepada 3.0 peratus, paras terendah dalam tempoh sedekad,” katanya.
Beliau berkata bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sedikit kepada 7.03 juta orang dengan majoritinya kekal tidak aktif disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang merangkumi 43.8 peratus, diikuti mereka berada dalam kategori persekolahan atau latihan sebanyak 42.2 peratus.
Mengenai indikator guna tenaga tidak penuh, Mohd Uzir berkata prestasi lebih baik direkodkan pada 2025 dengan bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu.
“Ia disebabkan oleh keadaan kerja atau kerja tidak mencukupi dengan penurunan sebanyak 4.4 peratus kepada 203,100 orang, mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh yang lebih rendah pada 1.2 peratus berbanding 1.3 peratus pada 2024,” katanya.- Bernama



