Ikan raksasa ekor merah ceroboh Sungai Triang

Ikan raksasa ekor merah ceroboh Sungai Triang

am@hmetro.com.my

Jelebu: Penemuan mengejutkan apabila Sungai Triang di sini, terutama di sepanjang laluan Kampung Sungai Buloh dan Kuala Pertang, mula `dijajah’ ikan asing Baung Ekor Merah (BEM) bersaiz gergasi.

Ikan invasif ini yang berasal dari Sungai Mekong dan Mae Klong di Thailand serta Vietnam adalah ancaman ekosistem utama yang merosakkan biodiversiti tempatan.

Berdasarkan tangkapan dilakukan, ada antara ikan asing ini mencecah berat sehingga 21 kilogram.

Berkongsi maklumat, Azwan Shah Masri, 29, dari Simpang Durian di sini, memaklumkan, ikan baung ekor merah itu berjaya ditangkap bersama empat rakannya jam 5 petang semalam.

Katanya, ketika itu keadaan air sungai keruh disebabkan hujan namun dia mengambil keputusan untuk menjala.

“Saya lihat ikan berekor merah terperangkap di dalam jala pada tebaran kali ketiga namun tidak menyangka ia BEM seberat itu.

“Ingatkan ia ikan bersaiz biasa. Rupa-rupanya ia ikan bersaiz besar dan selepas ditimbang, ikan baung asing itu seberat 21 kilogram,”katanya.

Katanya, rakan-rakannya turut membantu menarik jala dan membawa ikan asing itu ke tebing.

Azwan Shah berkata, ikan berkenaan tidak dijual sebaliknya dijadikan juadah keluarga.

Menurutnya, ini kali pertama dia mendapat ikan bersaiz besar sejak meminati aktiviti menjala di sungai.

Spesies BEM menjadi ancaman utama kepada sungai-sungai utama negara ini malah orang ramai juga dilarang menternak BEM.

Di negeri ini, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan turut memperkenalkan program Buru Baung Ekor Merah (BURU) yang bakal memasuki edisi ke lima penganjuran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top