Pulau, helikopter antara aset dilelong

Pulau, helikopter antara aset dilelong

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Sebuah pulau di Sabah dan helikopter adalah antara aset yang terbuka untuk bidaan pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, yang akan berlangsung sepanjang tahun ini.

Pengarah Bahagian Likuidasi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, berkata aset berkenaan yang sebelum ini dimiliki syarikat swasta akan dilelong pada karnival berkenaan di Sabah pada November ini.

“Di MdI, kita bukan saja menangani atau mentadbir isu kebankrapan individu, malah turut membabitkan kes kebankrapan atau penggulungan syarikat.

“Jadi, ini antara aset yang kita dapat kumpulkan di Sabah, selain ada barangan lain yang juga menarik,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan turut dihadiri Ketua Pengarah MdI, Datuk Ishak Bakri.

Mengulas lanjut, Mohd Mukhzany berkata, karnival berkenaan akan dilaksanakan di enam zon, iaitu Putrajaya, Melaka bagi zon selatan pada bulan depan, Pahang (zon timur) pada September, Pulau Pinang (zon utara) pada Oktober, Sabah dan Sarawak pada Disember, yang juga penutup karnival itu.

Bagi siri karnival yang berlangsung di kawasan parkir berhampiran Istana Kehakiman, Presint 3, di sini sehingga Ahad ini itu, beliau berkata, pihaknya mensasarkan kira-kira 200,000 pengunjung.

“Setakat petang ini, lebih 4,000 pengunjung hadir dan kita dapat lihat sambutan menggalakkan yang diterima di khemah (agensi kerajaan) dan yang memasuki bidaan.

“Kita jangkakan lebih ramai lagi akan hadir pada Sabtu (hari ini) dan Ahad ini (esok),” katanya.

Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 9 malam itu menghimpunkan 15 reruai pameran membabitkan pelbagai agensi kerajaan, selain reruai lelongan 24 kenderaan yang menjadi tarikan utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top