Sebak lepas anak sulung, Che Ta pesan jangan 'bossy' dan serah hantaran jongkong emas

Sebak lepas anak sulung, Che Ta pesan jangan 'bossy' dan serah hantaran jongkong emas

Kuala Lumpur : Pelakon dan usahawan sensasi, Rozita Che Wan, sah menerima menantu apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, selamat bergelar suami kepada gadis pilihan hatinya, Auni Ikhwan, malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim dengan sekali lafaz di premis acara, GlamHall Damansara, kira-kira jam 8.41 malam.

Majlis penuh syahdu itu disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud.

Mengambil keberkatan hari penuh bermakna 10 Muharram, majlis bertemakan ‘Garden Wedding’ berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira lebih 200 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat.

Ammar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 bersama wang hantaran istimewa berbentuk jongkong emas.

Kedua-dua mempelai turut berbalas tujuh dulang hantaran, selain upacara membatalkan air sembahyang yang diserikan dengan penyerahan cincin berlian 1.8 karat sebagai simbolik.

Rozita, yang lebih mesra disapa Che Ta, dilihat tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika melepaskan anak terunanya itu memikul tanggungjawab besar.

Sebagai ibu yang pernah melalui pasang surut kehidupan, Che Ta menitipkan pesanan mendalam agar Ammar menjadi pelindung yang baik dan tidak bersikap kuku besi.

“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tak sempurna dan apa sekalipun. Moga Ammar dapat menjadi suami yang melindungi dan bukannya ‘bossy’. Buat Auni, jadilah isteri yang mendampingi dan tidak sekadar menemani.

“Dalam berumah tangga ini, Ammar dan Auni kenalah berpegangan tangan dalam setiap keadaan. Janganlah melepaskan pegangan tangan itu dikala susah atau berdepan kegetiran. Perkahwinan ini bukan seperti menukar pakaian.

“Jangan sesekali fikir jalan mudah untuk lari daripada apa saja godaan serta cabaran,” tutur Che Ta dalam nada bergetar menahan emosi.

Berkongsi mengenai konsep, pelakon drama popular Kiah Pekasam itu memberitahu tema taman dan minimalis dipilih atas persetujuan bersama kedua-dua belah keluarga.

Mempelai kelihatan begitu anggun dalam persalinan serba putih rekaan pereka fesyen terkenal, Man Kajang yang digayakan oleh Ammar, manakala Auni menyerlahkan kejelitaannya menerusi busana sentuhan Zaimi Zulkifly.

Majlis eksklusif itu turut dikendalikan oleh personaliti TV terkenal, Ahmad Fedtri Yahya sebagai pengacara majlis, manakala bacaan doa dipimpin oleh Pencetus Ummah (PU) Amin.

Ammar yang kini berkhidmat sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan dan Auni yang bekerja di sebuah syarikat pemasaran terdahulu mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu.

Pasangan pengantin baharu ini dijadualkan diraikan dalam sebuah majlis resepsi bertemakan ‘Black Tie’ di sebuah hotel terkemuka Shah Alam, malam ini, sebelum majlis bertandang berlangsung pada 4 Julai depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top