
Faisal (tengah) pada sidang media Program Sesi Libat Urus Bersama Pengamal Media di Ibu Pejabat FAMA, di Batu Caves pada Rabu.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengaktifkan pelan intervensi pemasaran secara menyeluruh di seluruh negara bagi menangani isu kejatuhan harga durian di peringkat ladang dan runcit yang dikesan merundung sejak kebelakangan ini.
Langkah proaktif itu diambil berikutan berlakunya lebihan hasil akibat pengeluaran serentak atau ‘Tsunami Musang King’ yang membabitkan hampir semua negeri di Semenanjung dan Sarawak sepanjang musim kemuncak antara Jun hingga Ogos ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, pemantauan harga di kawasan pengeluaran utama mendapati harga durian kampung kini mencecah paras terendah antara RM1 hingga RM4 sekilogram mengikut kualiti dan lokasi gred buah berkenaan.
“Faktor cuaca yang amat baik sebelum ini menyebabkan kebanyakan pokok mengeluarkan hasil yang tinggi secara serentak.
“Ditambah pula dengan peningkatan keluasan kawasan bertanam, statistik menunjukkan lonjakan pengeluaran yang ketara daripada kira-kira 300,000 metrik tan pada tahun 2016 kepada hampir 600,000 metrik tan menjelang tahun 2024 dan dijangka terus meningkat bagi tahun 2025 serta tahun ini,” katanya.

FAISAL
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat FAMA Selayang, di Batu Caves pada Rabu.
Mengulas mengenai pelan intervensi FAMA, Faisal Iswardi memperincikan bahawa agensi itu sedang melaksanakan pembelian terus daripada petani menerusi 42 pusat operasi FAMA di seluruh negara.
“Bagi unjuran tahun ini, kita menyasarkan belian langsung sebanyak 1,000 metrik tan dengan peruntukan bernilai RM7 juta. “Sebagai permulaan pada peringkat awal musim ini, FAMA telah pun menyerap sebanyak 142.7 metrik tan durian dengan nilai RM1.1 juta.
“Langkah ini diperkuatkan lagi menerusi rangkaian usahawan FAMA, termasuk 169 pengusaha Gerai BuahBuahan Segar (GBBS) yang bertindak sebagai anchor.
“Setakat ini, usahawan kita telah berjaya membuat belian sebanyak 1,099 metrik tan dengan nilai RM3.28 juta bagi membantu menyerap pasaran,” katanya.
FAMA perluas akses pasaran

Faisal (dua dari kiri) sedang mendapatkan maklumat mengenai jualan buah durian daripada salah seorang penjual.
Bagi memperluaskan akses pasaran terus kepada pengguna, FAMA membuka 90 lokasi jualan buah-buahan bermusim tambahan di kawasan strategik seluruh negara.
Daripada jumlah itu, Pahang mendahului dengan 17 lokasi, diikuti Perak (11 lokasi) dan Selangor (sembilan lokasi).
FAMA turut mengaktifkan 60 buah Pusat Belian Sementara (Pusat Pengumpulan Sementara) di kawasan pengeluaran untuk memudahkan urusan logistik para petani, yang mana kemudahan itu telah dimanfaatkan oleh 71 petani setakat ini.
Bagi mengelakkan pembaziran lambakan buah segar, Faisal Iswardi menjelaskan lebihan tersebut diserap ke 14 Pusat Memproses Buah FAMA (PMBF) untuk dijadikan produk hiliran seperti pes dan ulas sejuk beku.
Setakat ini, Pusat Memproses Buah FAMA (PMBF) telah memproses 25.7 metrik tan durian.
FAMA juga menawarkan kemudahan bilik sejuk komersial bagi penyimpanan jangka masa panjang.
Terdapat 142 bilik sejuk sedia ada di seluruh negara dengan kapasiti simpanan keseluruhan mencecah 1,600 metrik tan dalam satu-satu masa.

Pengunjung meneliti dan memilih durian sebelum membuat pembelian di gerai jualan.
Dalam pada itu, Faisal menggesa 145 pengusaha kilang dan pengeksport tempatan yang mempunyai akses kelulusan ke negara China (GACC) sama ada bagi produk pes, ulas sejuk beku, buah biji sejuk beku atau whole fruit mahupun durian segar supaya memanfaatkan situasi harga rendah ini.
“Ini adalah peluang terbaik kepada pihak pengeksport untuk membeli varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn pada harga ladang yang kompetitif untuk pasaran China,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sesi libat urus persediaan industri itu sebenarnya telah digerakkan sejak 6 Februari dan 4 Mei lalu.
FAMA turut melaksanakan intervensi pemasaran buah durian menerusi penganjuran Jualan Buah-Buahan Bermusim di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara bagi memastikan bekalan durian dapat dipasarkan secara lebih meluas, sekali gus memberi peluang kepada pengguna mendapatkan durian berkualiti pada harga yang berpatutan.
Selain itu, perkhidmatan katering durian turut dibuka kepada syarikat swasta yang ingin mengadakan majlis korporat, menyusuli kejayaan program katering durian bersama syarikat Honda di Melaka baru-baru ini.
Dalam usaha memperkukuh pasaran eksport pula, FAMA akan menganjurkan program Durian Paradise sempena Malaysia Fest pada 1 hingga 2 Ogos 2026 di Singapore Expo dan Durian Fiesta di Geylang Singapura pada 6 hingga 10 Ogos 2026.
Selain itu, FAMA turut mempromosikan durian melalui penyertaan program di luar negara seperti Fine Food Australia dan Asia Fruit Logistica, Hong Kong. Sebanyak tujuh MT durian pelbagai varieti premium Malaysia seperti Musang King, Black Thorn, Klon dan Kampung yang dibekalkan dari beberapa negeri akan dipromosikan sepanjang program berkenaan.
Program itu dijangka menjana jualan langsung bernilai RM1.5 juta selain memperkukuh penembusan durian Malaysia di pasaran Singapura.



