am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dalam bahan-bahan kempen sepanjang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mahu pun Negeri Sembilan, harus diteliti bagi mengelakkan kekeliruan atau salah faham yang boleh mengancam keselamatan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, beliau sudah berkali-kali mengingatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam menggunakan teknologi baharu pada masa kini dengan memastikan setiap maklumat yang digunakan adalah sahih.
Beliau berkata, sudah pasti cara berkempen dalam pilihan raya pada masa kini berbeza daripada kaedah berkempen yang lama dan kewujudan teknologi baharu seperti AI menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi.
“Saya telah pun menyatakan berkali-kali bahawa apa yang penting dalam kita menggunakan teknologi yang baharu, kita kena pastikan bahawa maklumat yang digunakan adalah maklumat yang sahih.
“Kita perlu pastikan bahawa keselamatan menjadi keutamaan. Dengan teknologi baharu, kita lihat cara kempen sangat berbeza daripada cara kempen masa dulu, tetapi itu adalah satu cabaran yang kita kena hadapi.
“Kita di parti DAP sudah pun membuat persediaan-persediaan tertentu, tetapi seperti mana yang saya katakan, apa sahaja material yang hendak kita gunakan dalam bahan kempen pilihan raya ini, semuanya perlu sahih dan berdasarkan dengan maklumat yang tepat supaya pengundi dapat menilai maklumat itu dan membuat keputusan yang tepat dan terbaik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) N48 Skudai di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, hari ini.
Diminta mengulas mengenai proses penamaan calon hari ini, Gobind berpuas hati apabila semua 17 calon DAP yang mewakili PH layak bertanding dalam PRN Johor ke-16.
Ahli Parlimen Damansara itu berkata, kini sudah tiba masa untuk semua calon bekerja dalam memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengundi sekali gus memastikan kemenangan milik PH.
“Memang kita lihat proses penamaan calon untuk semua calon DAP dan semua calon PH berjalan dengan lancar. Sekarang mulanya masa untuk kita berkempen bagi dua minggu yang akan datang.
“Pada saya, yang sangat penting adalah untuk kita pastikan bahawa setiap calon keluar turun padang untuk jumpa pengundi dan memastikan bahawa mereka dapat keyakinan daripada pengundi,” katanya.
Beliau turut yakin dengan persiapan semua calon yang ditonjolkan DAP terutamanya apabila barisan calon parti itu mewakili semua lapisan masyarakat.
“Kita ada wakil daripada setiap lapisan masyarakat dan keturunan iaitu calon Melayu, Cina, India dan juga jantina lelaki serta wanita.
“Ini menunjukkan satu kombinasi yang dinamik yang boleh membawa DAP Johor ke hadapan kerana kita melihat kepada kebersamaan dan kita mahu pastikan wakil-wakil rakyat yang kita ada adalah wakil-wakil rakyat yang faham masalah keseluruhan masyarakat dan boleh membantu untuk menyelesaikan masalah rakyat,” jelasnya.
Pada masa sama, Gobind menyelar dakwaan terhadap DAP yang hanya meletakkan calon di kerusi DUN bagi satu penggal sahaja sebelum menukar ke calon lain pada penggal berikutnya sebagai contoh kerusi DUN Skudai yang diibaratkan sebagai calon ‘satu penggal satu bangsa’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




