am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: “Walaupun terpaksa tebalkan muka, namun demi menyara isteri dan dua anak yang masih kecil, saya terpaksa meminjam kereta milik ibu untuk mengangkut sampah dari rumah ke rumah, kata Muhamad Firdaus Mohd Rafi, 29, dari Kampung Telaga Batin, dekat sini.
Menurutnya, dia terpaksa mengetepikan rasa malu demi mencari rezeki halal sebagai pemotong rumput dan menyediakan khidmat membuang sampah dari rumah ke rumah.
Katanya, fasa sukar dalam hidupnya bermula tahun lalu selepas dia mengambil keputusan berhenti menjual air di tepi jalan selepas isterinya melahirkan anak kedua.
“Sebelum melakukan pekerjaan memungut sampah dari rumah ke rumah, saya akui pernah berada pada titik terendah apabila tidak mempunyai wang langsung untuk membeli makanan dan membayar hutang selepas beberapa hari tidak bekerja.
“Waktu itu memang tak ada duit langsung, Isteri saya kemudian terfikir apa aktiviti di rumah yang boleh mendatangkan hasil.
“Selepas melihat saya membuang sampah di rumah kami, isteri cadang saya mengambil upah membuang sampah di rumah orang dengan kadar bayaran satu trip (perjalanan) RM15,” katanya.
Menurutnya, bermula dari situ dia terfikir dan mula mengiklankan perkhidmatannya di laman Facebook.
Muhamad Firdaus berkata, dia bersyukur kerana selepas mengiklankan khidmat itu dia menerima pelanggan yang menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp yang mahu menggunakan perkhidmatan membuang sampah dan mesin rumput.
“Saya melakukan kerja memungut sampah dan memotong rumput di sekitar kawasan Gong Badak, Wakaf Tengah, dan Gong Pok Jin serta kawasan sekitar daerah ini.
“Saya hanya bergantung sepenuhnya kepada kereta Proton Iswara milik ibu kerana tidak mempunyai sebarang kenderaan lain termasuk motosikal,” katanya.
Katanya, antara cabaran yang terpaksa dilaluinya apabila kereta yang digunakan bukan sahaja tiada sistem pendingin hawa, malah tingkapnya juga tidak boleh dibuka.
Mengimbas kembali situasi mencabar yang dilalui, dia berkata, paling sukar apabila kereta itu pernah terjatuh ke dalam lubang ketika mahu membuang sampah di tong sampah besar.
Menurutnya, ketika itu dia sememangnya tidak mampu untuk mengupah trak tunda untuk menarik keluar kereta yang terjatuh ke dalam lubang kerana ketika itu dia hanya mempunyai RM40 sahaja.
“Mujurlah ada individu yang sudi membantu tarik kereta saya menggunakan kenderaan pacuan empat rodanya,” katanya.
Muhamad Firdaus berkata, hasil pendapatan daripada upah membuang sampah itu adakalanya sekadar cukup-cukup makan untuk keluarganya bertahan.
“Wang upah yang diperoleh cukup untuk saya sekeluarga bertahan membeli barangan keperluan termasuk mengisi minyak untuk kegunaan pergi bekerja,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana layanan tuan rumah amat memuaskan kerana ada mereka yang memberikan duit lebih atas perkhidmatan yang saya lakukan.
“Saya harap dengan usaha ini, saya akan dapat menambah baik kehidupan keluarga dan mempunyai pengangkutan yang sempurna dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




