DBKL gempur restoran, pusat hiburan, keluar 26 notis kompaun

DBKL gempur restoran, pusat hiburan, keluar 26 notis kompaun

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 26 notis kompaun terhadap pelbagai kesalahan dalam Tindakan Khas Premis (Restoran dan Kelab Hiburan) Siri 7/2026 yang dijalankan sekitar ibu negara, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu melibatkan kawasan Jalan Pasar Pudu, Jalan Solaris Mont Kiara, Jalan Duta Mas dan Jalan Manjalara.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak enam premis perniagaan yang menjalankan aktiviti pusat hiburan dan kelab diperiksa kerana disyaki beroperasi tanpa lesen serta melanggar syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, ia termasuk pemeriksaan kebersihan premis dan pengendali makanan oleh pegawai kesihatan DBKL.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, DBKL mengeluarkan 26 notis kompaun di atas pelbagai kesalahan melibatkan kesalahan tidak mempamerkan lesen perniagaan, melantik pembantu warga asing tanpa kebenaran, premis tiada perangkap minyak serta perniagaan selain dari lesen dimiliki.

“Selain itu, turut dikesan pengendali premis tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, bahan makanan diletakkan diatas lantai dan premis tiada lesen papan tanda iklan,” kata kenyataan itu, hari ini.

DBKL berkata, tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan dan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh salurkan di https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top