LRT3 mula beroperasi esok

LRT3 mula beroperasi esok

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lebih dua juta penduduk di sekitar jajaran barat Lembah Klang bakal menerima manfaat besar apabila Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau kini dikenali sebagai Laluan Shah Alam, menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer (km), mula beroperasi esok.

Ketua Operasi Laluan Shah Alam (LRT3), Mohd Ariffin Idris, berkata rangkaian rel bandar moden itu dibangunkan khusus untuk meningkatkan kesalinghubungan sistem pengangkutan awam serta mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang kritikal di koridor berkenaan.

Beliau berkata, projek berimpak tinggi bernilai RM16.63 bilion itu bakal bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan, selain menyediakan aksesibiliti lebih luas ke kawasan tumpuan utama termasuk Shah Alam, Klang dan Bandar Utama.

“Kami menyasarkan jumlah perjalanan penumpang sebanyak 67,000 sehari pada tahun pertama operasi dan dijangka melonjak kepada 117,708 sehari dalam tempoh lima tahun pasca-operasi.

“Bagi memudahkan pergerakan pengguna, Laluan Shah Alam yang mempunyai masa perjalanan hujung ke hujung sekitar 70 minit ini akan terhubung dengan dua laluan rel sedia ada menerusi Stesen Glenmarie 2 untuk sambungan ke Laluan Kelana Jaya, serta Stesen Bandar Utama bagi sambungan ke Laluan Kajang,” katanya.

Mohd Ariffin berkata, menerusi peruntukan RM4.7 bilion dalam Belanjawan 2024, kerajaan mengesahkan pembinaan semula lima stesen yang ditangguhkan sebelum ini, iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dijadualkan bermula pada penghujung tahun ini.

“Peruntukan itu turut merangkumi perolehan tujuh set tren tambahan, penambahan sistem sokongan, peluasan depoh sedia ada di Johan Setia serta pelaburan RM600 juta bagi 150 unit bas elektrik dan dua depoh bas demi menyokong agenda pelepasan karbon sifar bersih,” katanya.

Beliau berkata, projek LRT3 melakar sejarah sebagai projek rel pertama di negara ini yang menggunakan teknologi “U-Trough” iaitu komponen blok girder berbentuk ‘U’ prareka yang dilengkapi penghadang bunyi bagi meminimumkan gangguan kepada penduduk sekitar serta mempercepatkan tempoh pembinaan.

“Aspek kelestarian alam turut diutamakan melalui adaptasi teknologi hijau seperti sistem brek regeneratif yang menukarkan tenaga membrek tren kepada tenaga elektrik untuk kegunaan fasiliti stesen.

“Reka bentuk stesen pula mengutamakan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, manakala eskalator dilengkapi fungsi automatik untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga. Seterusnya, air hujan turut dikitar semula untuk kegunaan tandas serta sistem pengairan.

“Bagi memastikan kecekapan penjimatan tenaga di dalam tren, sistem penyaman udaranya menggunakan teknologi Inverter dan Sistem Penyaman Udara Pintar lengkap dengan penderia suhu serta beban, di samping dilengkapi lampu LED dan Sistem Pencahayaan Dalaman Pintar yang memanfaatkan cahaya matahari semula jadi,” katanya.

Mohd Ariffin berkata, laluan sepanjang 37.8 km ini merangkumi 20 stesen secara keseluruhan termasuk 2.5 km laluan bawah tanah dan bakal dikendalikan 22 unit tren tiga gerabak keluaran CRRC Zhuzhou pada kelajuan operasi maksimum 80 kilometer/jam (km/j) dengan kapasiti 624 penumpang.

“Waktu operasi dijadualkan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam dengan frekuensi setiap lapan minit pada waktu puncak dan 10 hingga 15 minit pada waktu luar puncak, menggunakan reka bentuk platform jenis ‘side platform’ di 10 stesen dan ‘island platform’ di 10 stesen yang lain.

“Bagi pengguna yang memandu, sebanyak 2,300 petak parkir kemudahan Park & Ride disediakan di enam stesen utama iaitu 350 petak di Stesen Kayu Ara, petak di Damansara Idaman (150), 100 petak di Pasar Besar Klang (100), manakala Stesen Sri Andalas dan Johan Setia masing-masing menyediakan 550 petak serta 600 petak di Bandar Bukit Tinggi.

“Projek ini turut memastikan fasiliti mesra orang kurang upaya (OKU) disediakan sepenuhnya, termasuk laluan landai (ramps) untuk pengguna berkerusi roda, kemudahan lif ke platform, tandas mesra OKU, penanda tactile untuk golongan cacat penglihatan serta tempat duduk khas di dalam setiap gerabak.

“Tren juga dilengkapi penunjuk lampu pada pintu, bunyi loceng dan sistem hebahan arah bukaan pintu,” katanya.

Katanya, bagi memperkukuh hubungan perjalanan batu pertama dan terakhir (first mile and last mile), pihaknya menyediakan perkhidmatan 40 bas perantara membabitkan 13 laluan dan 323 hentian bas dengan kadar tambang RM1 yang beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam pada kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak.

“Kemudahan itu disokong lagi dengan perkhidmatan Rapid On-Demand menggunakan 44 van berkapasiti 10 penumpang di 20 zon berbeza dengan kadar tambang RM2.

“Laluan dan kekerapan kedua-dua perkhidmatan sokongan ini akan diselaraskan mengikut permintaan penumpang selepas pembukaan laluan itu kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top