am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Hasrat seorang warga emas merakam swafoto ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing udang berakhir tragedi apabila dia tergelincir sebelum bot dinaiki bersama rakannya terbalik di Sungai Selangor, Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 73 tahun dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan terapung di Kunci Air Batu 7 1/2, Kampung Asahan, jam 8.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Menurutnya, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 48 tahun pada jam 6.42 petang kelmarin.
“Pengadu memaklumkan bot dinaikinya bersama mangsa terbalik ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Bintara, Kunci Air Batu 6, Kampung Kuantan selepas selesai memancing udang.
“Siasatan mendapati mangsa ketika itu mengeluarkan telefon bimbit untuk mengambil gambar swafoto. Bagaimanapun, bot dipercayai hilang keseimbangan menyebabkan mangsa tergelincir sebelum bot berkenaan terbalik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




