Sharifah Shahirah bidas netizen keterlaluan kecam Oddah

Sharifah Shahirah bidas netizen keterlaluan kecam Oddah

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Gilalah kalau mengata. Mereka takkan tidur sampai mati. Saya suka melayan sebab mereka berani dan saya pun suka buat onar.”

Itu tulis pelakon, pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah atau Shiera, mengulas mengenai kecaman yang disifatkan sebagai keterlaluan di media sosial terhadap anaknya, Auddra Zulkifli atau Oddah.

Dalam hantaran di Threads, walaupun dalam nada berseloroh, Shiera meluahkan rasa hati seorang ibu yang terluka apabila anaknya dihina.

“Tak ada orang nak ambil kamu Oddah. Tak apa Oddah. Kita boleh jual roti bakar hitam, Oddah. Tiga orang beli pun, jadilah. Tapi, jangan mengata depan-depan yang sangat ‘bitter’ juga jadi pada orang lain.

“Patutlah Pak Azad melenting. Faham. Buatkan mental orang lain rosak. Manfaatlah kepada manusia lain. Bukan menyakitkan kepada manusia lain,” tulisnya.

Komen netizen itu menyentuh mengenai kedudukan Oddah sebagai anak angkat Datuk Seri Siti Nurhaliza dan disebabkan status itu dia diambil menjadi artis di bawah naungan Biduanita Negara berkenaan.

Shiera kemudiannya membalas komen itu dengan nada berseloroh dan ringkas.

“Hahaha. Faham sangat. Saya faham perasaan kamu,” tulisnya.

Hantaran itu menerima pelbagai komen daripada netizen di mana rata-rata menyokong dan memahami reaksi Shiera selepas anaknya dihina sebegitu.

Turut meninggalkan komen, pengurus Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak yang juga berkongsi pengalamannya menguruskan Auddra.

Dalam komennya, Rozi menggambarkan Auddra sebagai penyanyi muda yang rajin berusaha dan ada kelebihannya tersendiri.

“Oddah ada kelebihan, setiap artis ada pakej tertentu. Sepanjang menguruskan Oddah, selain mendapat perhatian pelbagai jenama dan undangan, Oddah tahu visi dia.

“Kalaupun dia ada kelemahan di bahagian A, dia tahu bagaimana nak ‘tackle’ untuk kongsikan pula kelebihan dia.

“Apa yang penting, Oddah rajin berusaha dan tingkatkan diri. Bakat setiap orang tak sama, tapi masing-masing ada keistimewaan,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top