Johor Bahru: Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) mencipta sejarah apabila membuat penampilan sulung dengan mempertaruhkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Calon ASLI, Jati Awang, disahkan layak bertanding selepas tamat proses penamaan calon hari ini, sekali gus menjadikan PRN Johor medan sulung parti itu menguji sokongan pengundi menerusi sistem demokrasi negara.
Kerusi DUN Endau yang mempunyai 28,767 pemilih berdaftar, menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Jati, calon Barisan Nasional (BN) Alwiyah Talib, Saiful Nizam Samat daripada Pakatan Harapan (PH) dan Hasnul Hakimi Hussien yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Jati, 52, yang merupakan anak tempatan daripada masyarakat Orang Asli di Endau berkata penyertaan ASLI dalam pilihan raya bertujuan membawa suara masyarakat etnik itu ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam barisan kepimpinan negeri.
“Kami mahu masyarakat Orang Asli mempunyai wakil sendiri yang dapat menyuarakan isu dan keperluan komuniti secara lebih berkesan,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Endau, Mersing.
Penyertaan ASLI kali ini juga menandakan penampilan rasmi pertama parti itu dalam pilihan raya selepas hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 2024 tidak kesampaian apabila menarik diri sebelum hari penamaan calon berikutan masalah teknikal.
PRN Johor menyaksikan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




