Gempa 6.1 magnitud gegar Afghanistan

Gempa 6.1 magnitud gegar Afghanistan

Kabul: Gempa bumi bermagnitud 6.1 menggegarkan Afghanistan hari ini, dengan gegaran kuat turut dirasai di beberapa wilayah negara itu serta ibu negara Pakistan, Islamabad.

Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berpusat di timur laut Afghanistan pada kedalaman 208.3 kilometer.

Wartawan AFP melaporkan gegaran kuat dirasai di Kabul sehingga menyebabkan bangunan bergegar, malah sebuah rumah dilaporkan mengalami rekahan besar pada dinding bahagian dalam.

Gegaran turut dirasai di wilayah Balkh, Badakhshan, Nangarhar dan Khost.

Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Afghanistan sering dilanda gempa bumi, khususnya di kawasan banjaran Hindu Kush yang terletak berhampiran pertembungan plat tektonik Eurasia dan India.

Pada April lalu, gempa bermagnitud 5.8 di wilayah Badakhshan meragut 12 nyawa.

Pada Ogos tahun lalu pula, gempa bumi bermagnitud 6.0 memusnahkan beberapa perkampungan di lereng bukit di timur Afghanistan dan mengorbankan lebih 2,200 orang.

Beberapa minggu kemudian, gempa bermagnitud 6.3 di utara negara itu mengorbankan sekurang-kurangnya 27 mangsa.

Selain itu, gempa bumi besar di Herat pada 2023 dan Nangarhar pada 2022 turut mengorbankan ratusan penduduk serta memusnahkan ribuan kediaman.

Usaha menyelamat di Afghanistan sering berdepan kesukaran berikutan bentuk muka bumi bergunung-ganang, rangkaian komunikasi yang terhad dan kemudahan infrastruktur yang lemah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top