PETALING JAYA: Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahira menyelar tindakan segelintir individu yang tidak henti-henti melemparkan kecaman terhadap anaknya yang dikenali sebagai Oddah.
Sharifah Shahira atau Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar 51, berkata, golongan ini sebenarnya bersikap tidak acuh kerana tetap mahu menyakitkan hati orang lain walaupun tahu perbuatan tersebut boleh merosakkan kesihatan mental.
“Memang gila kalau memikirkan golongan yang suka mengata ini kerana mereka tidak akan pernah berhenti berbuat demikian sehinggalah kamu mati. Saya suka layan orang sebegini sebab saya pun suka buat onar.
“Janganlah mengata orang lain di hadapan mereka dengan cara yang sangat menyakitkan hati. Perbuatan seperti itu hanya akan menyebabkan kesihatan mental orang lain menjadi rosak,” katanya.
Dalam pada itu, Shiera secara berseloroh sempat menenangkan anaknya itu dengan menyatakan mereka masih boleh mencari rezeki lain sekiranya tiada mana-mana pihak yang mahu menawarkan pekerjaan.
“Tidak mengapalah jika tiada orang yang mahu mengambil kamu bekerja selepas ini, Oddah. Kita masih boleh menjual roti bakar hitam dan jika tiga orang sahaja yang membeli pun sudah memadai.
“Melihat kepada keadaan ini, barulah saya faham mengapa Pak Azad melenting sebelum ini. Jadi, bagilah manfaat kepada manusia lain bukan menyakitkan kepada manusia lain,” tambahnya.
Sebelum ini, Shiera memuat naik satu hantaran tangkap layar yang memaparkan komen negatif netizen terhadap suara anaknya yang dikatakan hanya layak mendendangkan lagu rap berbanding genre balada.
Untuk rekod, Sharifah Shahira dan anaknya Oddah merupakan peserta yang mendapat perhatian ramai dalam program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim pertama sekali gus meraih tempat ketiga dalam program tersebut.




