Dhaka: Tribunal khas di Bangladesh pada Ahad menjatuhkan hukuman mati secara “in absentia” terhadap tiga pegawai polis, termasuk bekas ketua polis ibu negara Dhaka, berhubung pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat pada 2024 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan.
Menurut Anadolu Ajansi, keputusan itu diputuskan oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa yang dianggotai tiga hakim dan dipengerusikan oleh Hakim Md Golam Mortuza Mozumder.
Mereka didapati bersalah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk menembak seorang pemuda yang tergantung pada sebuah bangunan di Dhaka serta membunuh dua individu lain di bandar itu semasa kebangkitan besar-besaran rakyat pada Julai 2024.
Pembunuhan itu tular di media sosial dan mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh negara. Insiden berkenaan akhirnya membawa kepada penyingkiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Sheikh Hasina, yang hidup dalam buangan sejak Ogos 2024.
Tribunal itu turut menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta tambahan 20 tahun penjara terhadap dua individu lain dalam kes yang sama.
Mereka yang dijatuhi hukuman mati ialah bekas Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka (DMP) Habibur Rahman, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati dalam kes lain, bekas Timbalan Pesuruhjaya Tambahan DMP Md Rashedul Islam dan bekas Ketua Polis Rampura Md Mashiur Rahman.
Tariqul Islam Bhuiyan, bekas Subinspektor di balai polis yang sama, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Keempat-empat mereka kini menjadi buruan pihak berkuasa.
Pada November lepas, mahkamah yang sama turut menjatuhkan hukuman mati terhadap Hasina dalam satu kes berasingan yang melibatkan jenayah terhadap kemanusiaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 1,400 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera semasa kebangkitan 2024, dengan kebanyakan mangsa maut akibat tembakan polis yang dilakukan oleh anggota parti Liga Awami pimpinan Hasina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




