Kuala Lumpur: Industri pakaian dan tekstil negara terus menunjukkan prestasi positif apabila nilai eksport sektor itu melonjak 27.8 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sumber dan pembuatan serantau.
Perkembangan itu diumumkan sempena penganjuran sulung Apparel & Textile Exhibition Malaysia (ATEX Malaysia 2026) yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 25 hingga 27 Jun lalu.
Berdasarkan data Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), sektor pakaian dan aksesori pakaian merekodkan jumlah dagangan RM18.24 bilion pada 2025, meningkat 8.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Eksport sektor itu turut berkembang 6.2 peratus kepada RM6.88 bilion, manakala pertumbuhan 27.8 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini mencerminkan peningkatan permintaan antarabangsa terhadap produk keluaran Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pemecutan Eksport) MATRADE, S Jai Shankar berkata, perubahan landskap rantaian bekalan global membuka lebih banyak peluang kepada Malaysia untuk muncul sebagai destinasi penyumberan strategik di Asia Tenggara.
Beliau berkata, semakin banyak syarikat antarabangsa melihat Malaysia sebagai rakan strategik dan pintu masuk ke pasaran serantau.
“Dinamik perdagangan global kini mewujudkan peluang baharu kepada Malaysia dan semakin banyak syarikat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai rakan strategik dan pintu masuk ke Asia Tenggara.
“Platform seperti ATEX memainkan peranan penting dalam menghubungkan syarikat Malaysia dengan pembeli global, di samping mempercepatkan inovasi, kemampanan dan pertumbuhan eksport dalam sektor pakaian dan tekstil,” katanya.
Menurutnya, industri tekstil dan pakaian negara kini berkembang melangkaui aktiviti pembuatan tradisional menerusi penggunaan automasi, amalan pengeluaran mampan serta pembangunan reka bentuk bernilai tinggi.
Katanya, transformasi itu disokong kerjasama antarabangsa yang kukuh serta peningkatan pengiktirafan terhadap jenama Malaysia di pasaran global.
ATEX Malaysia 2026 dianjurkan oleh Kaizer Exhibitions & Conferences Sdn Bhd dengan pengiktirafan MATRADE serta sokongan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dan beberapa persatuan industri.
Pameran itu menghimpunkan 79 syarikat dari Malaysia, Bangladesh, China, India, Indonesia dan Jepun meliputi ruang pameran seluas lebih 4,212 meter persegi.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kaizer Exhibitions & Conferences Sdn Bhd, Andy Poh berkata, pameran itu diwujudkan sebagai platform penyumberan sehenti bagi menghubungkan pengeluar, pembeli dan pembekal dari seluruh rantau.
Katanya, inisiatif itu diharap dapat mewujudkan lebih banyak kerjasama strategik serta menyokong pertumbuhan berterusan ekosistem industri pakaian dan tekstil negara.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia,
Manjurul Karim Khan Chowdhury berkata, ATEX Malaysia 2026 membuka ruang memperkukuh kerjasama perdagangan serta rantaian bekalan antara Bangladesh dan Malaysia.
Beliau berkata, Bangladesh melihat potensi besar untuk meningkatkan penyumberan produk pakaian siap, pakaian rajut dan tekstil ke Malaysia selain merancang misi pembeli, sesi padanan perniagaan (B2B) serta penganjuran Forum Tekstil Bangladesh-Malaysia bagi memperluaskan kerjasama industri antara kedua-dua negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




