Jepun ada potensi kejutkan 'sifu'

Jepun ada potensi kejutkan 'sifu'

Dallas: Misi Hajime Moriyasu untuk membawa Jepun melangkah jauh di Piala Dunia bakal berdepan ujian besar apabila bertemu Brazil pada pusingan 32 terbaik, awal pagi Selasa ini dalam pertembungan yang boleh dianggap sebagai aksi ‘guru menentang murid’.

Skuad Jepun tiba di Amerika Utara dengan impian untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan dan kemenangan ke atas Jerman, Sepanyol serta England dalam tempoh empat tahun terakhir menguatkan keyakinan bahawa Samurai Biru mampu mencipta kejayaan besar.

Bagaimanapun, cabaran besar menanti mereka di Houston apabila berdepan Brazil, sebuah negara yang memainkan peranan besar dalam pembangunan bola sepak profesional Jepun.

Sejak penubuhan J-League pada 1993, liga itu banyak mengambil inspirasi daripada Brazil dan turut dibarisi ramai pemain dari negara lima kali juara dunia itu.

Legenda Brazil, Zico yang menjadi tonggak skuad Piala Dunia 1982, keluar daripada persaraan untuk menyertai Kashima Antlers manakala pemain antarabangsa seperti Bismarck dan Elivelton turut berhijrah ke Jepun.

Menjelang penghujung 1990-an, tujuh pemain Brazil yang menjuarai Piala Dunia 1994 termasuk kapten, Dunga pernah beraksi di Jepun dan membantu perkembangan pesat bola sepak negara itu.

“Sesiapa yang tidak mengikuti perkembangan bola sepak Jepun mungkin akan terkejut, tetapi saya tidak,” kata Cesar Sampaio yang beraksi untuk Brazil pada Piala Dunia 1998 ketika bersama kelab J-League, Yokohama Flugels.

“Sejak saya berada di sana, saya melihat bola sepak Jepun meningkat sedikit demi sedikit setiap tahun. Disiplin mereka memang sangat luar biasa.

“Kini mereka mempunyai pemain hebat seperti Daizen Maeda dan Ayase Ueda. Mereka memiliki skuad yang baik, bermain cemerlang dalam tiga perlawanan dan menentang Brazil akan menjadi cabaran terbesar mereka,” katanya lagi.

Jepun pernah mencatat kemenangan ke atas Brazil sebelum ini, tetapi bukan di Piala Dunia.

Mereka mengejutkan Brazil 1-0 di Sukan Olimpik 1996 dalam perlawanan yang dikenali sebagai ‘Keajaiban di Miami’.

Lebih menarik, pasukan kendalian Moriyasu turut menewaskan Brazil 3-2 dalam aksi persahabatan di Tokyo pada Oktober lalu.

Kedua-dua pasukan hanya pernah bertemu sekali di Piala Dunia iaitu pada edisi 2006 apabila Jepun yang dibimbing Zico tewas 1-4 kepada Brazil di Dortmund dan tersingkir daripada kejohanan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top