am@hmetro.com.my
Jasin: Dua penjaga kebun durian berdepan detik cemas apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan parang yang turut melarikan empat bakul durian dan sebuah motosikal di Anjung Gapam, Bemban, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert berkata, mangsa berusia 18 tahun bersama rakannya yang berusia 17 tahun berada di kawasan kebun durian berhampiran Dewan Citra Kasih sebelum didatangi tiga suspek kira-kira jam 11.30 pagi .
Menurutnya, kumpulan suspek itu dipercayai lelaki tempatan dikatakan menaiki sebuah Perodua Myvi merah sebelum mengambil empat bakul besar berisi durian jenis IOI dan memasukkannya ke dalam kenderaan berkenaan.
“Apabila mangsa menegur suspek supaya tidak mengambil terlalu banyak buah durian, seorang daripada mereka bertindak memarahi mangsa sebelum mengeluarkan sebilah parang.
“Ketika suspek hendak meninggalkan lokasi, mangsa sempat mengambil gambar kenderaan mereka dari arah belakang, namun tindakan itu disedari kumpulan penjenayah terbabit,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Lee berkata, seorang suspek kemudiannya menghayunkan bahagian belakang parang sehingga terkena bahu mangsa sebelum merampas telefon bimbitnya dan memadamkan gambar yang dirakam.
Menurutnya, seorang suspek turut melarikan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna biru putih milik bapa rakan mangsa.
“Setakat ini keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM9,000 namun tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi memburu kesemua suspek terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




