sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun skuad Harimau Malaya tidak beraksi di pentas Piala Dunia 2026, jersi keramat kebangsaan tetap ‘sampai’ ke kejohanan berprestij itu.
Kelibat seorang lelaki warga asing yang memakai jersi kuning hitam Malaysia nyata mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan selepas gambarnya tular di media sosial.
Berdasarkan perkongsian di Facebook oleh individu bernama Kevin Yap, lelaki tersebut dilihat tersenyum bangga menunjukkan isyarat ‘bagus’ sambil menyarung jersi berkenaan di Stadium Arrowhead.
Individu yang merupakan seorang ekspatriat itu difahamkan memakai jersi kebanggaan rakyat Malaysia ketika menyaksikan perlawanan mendebarkan membabitkan enam gol di antara Algeria dan Austria.
“Saya terkejut melihat lelaki ini memakai jersi bola sepak Malaysia di Piala Dunia 2026. Dia pernah bekerja di Malaysia selama dua tahun setengah.
“Dia memberitahu sangat menyukai pengalaman hidupnya di sana (Malaysia) dan gemar memakai jersi ini kerana pada kebanyakan masa, orang tidak mengenali dari mana asalnya jersi itu,” kata Kevin menerusi hantarannya.
Walaupun sekadar sehelai jersi, tindakan ‘mat salleh’ berkenaan nyata mencetuskan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia yang gembira melihat warna kebangsaan ‘berkibar’ dan menjadi tanda tanya penyokong luar di pentas bola sepak terbesar dunia itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




