am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Nelayan yang lemas dalam kejadian bot fiber terbalik berhampiran Pulau Sayak, di Tanjung Dawai, di sini, sempat menghantar kiriman WhatsApp kepada ibunya kira-kira sejam sebelum kejadian memaklumkan ombak kuat ketika itu.
Allahyarham Muhammad Amin Izham, 27, memberitahu ibunya, Jamilah Seman, 50, kira-kira jam 10 pagi mengatakan ombak kuat sewaktu berteduh berada di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Bapanya, Izham Hashim, 53, berkata, isterinya kemudian meminta anak ketiga daripada lima beradik itu supaya banyak berdoa.
Katanya, arwah dipercayai keluar dari rumah di Kampung Masjid, di sini, untuk menangkap ikan bersama lima rakannya pada jam 5.30 pagi tadi.
“Amin beritahu ibunya yang dia hendak pergi jauh, tak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya.
“Arwah baru tiga tahun jadi nelayan kerana sebelum ini dia bekerja dengan syarikat katering di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung dan bekerja sebagai nelayan.
“Saya juga bekerja sebagai nelayan sejak 40 tahun lalu dan pernah lalui pengalaman jatuh ke dalam laut. Tak sangka anak saya pula yang mengalami nasib yang sama dan ditemukan lemas tetapi saya reda, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Izham berkata, anaknya tidak tahu berenang dan berkemungkinan ketika bot mereka terbalik dia mungkin tersangkut pada tali namun lima rakannya sempat berpaut pada bot.
Katanya, arwah seorang anak yang baik dan sering mengikut cakap serta tidak banyak kerenah.
“Hari ini dia paling banyak berbual dengan ibunya melalui WhatsApp malah ibunya juga risaukan keadaannya hinggakan banyak kali dia suruh beritahu keadaan terkini arwah.
“Mak dia tanya keadaan dia dan di mana dia berada ketika itu, hinggakan mereka kerap membalas WhatsApp sekitar jam 10 pagi dan pada jam 11.30 pagi dia beritahu bot mereka nak berpatah balik, tetapi tidak lama kemudian bot mereka terbalik jam 12 tengah hari.
“Masa itu saya sedang cuci bot di pelantar dan seorang rakan minta tengok keadaan anak yang sudah dibawa dekat jeti. Ketika itu dia sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.
Izham berkata, biasanya kalau dengar orang jatuh laut, operasi mencari dan menyelamat mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga hari tetapi anaknya ditemui dalam tempoh yang singkat.
Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk tindakan lanjut dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang nelayan ditemukan lemas manakala lima rakannya terselamat selepas bot fiber yang dinaiki terbalik dipukul ombak kuat berhampiran Pulau Sayak.
Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Amin Izham, 27, dan lima rakannya dipercayai terjatuh dari bot ketika menangkap ikan namun lima rakannya berjaya diselamatkan orang awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




