China masih jadi tembok Malaysia

China masih jadi tembok Malaysia

PETALING JAYA: Impian skuad badminton remaja negara untuk menamatkan kemarau ke pentas separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2026 terus tertangguh apabila sekali lagi disekat juara bertahan, China di peringkat suku akhir, hari ini.

Pada aksi di Gimnasium Yatsushiro City, Jepun hari ini, Malaysia terpaksa mengakui keunggulan China selepas tewas 0-2 sekali gus mengulangi episod sama yang berlaku pada edisi tahun lalu di Surakarta, Indonesia.

Pengurus pasukan, Datuk Dr. Wan Khalik Wan Muhammad bagaimanapun enggan menganggap keputusan itu sebagai satu kegagalan kerana percaya pemain-pemain muda negara telah menunjukkan perkembangan positif sepanjang kejohanan.

“Kita mengakui China merupakan pasukan yang lebih baik pada perlawanan hari ini (semalam) dan mereka sekali lagi membuktikan mengapa mereka adalah antara kuasa besar badminton dunia.

“Walaupun tewas di suku akhir, saya tetap berbangga dengan pencapaian pasukan kerana kami berjaya muncul juara Kumpulan D selepas menewaskan Macau, Korea Selatan dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan mengungguli kumpulan yang dihuni beberapa pasukan kuat membuktikan barisan pemain remaja negara semakin berani bersaing di pentas Asia dan berada di landasan tepat untuk terus berkembang.

Selepas berakhirnya saingan berpasukan, Malaysia kini mengalihkan sepenuh tumpuan kepada acara individu yang bermula hari ini dengan harapan mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

“Sekarang kami akan mengalihkan fokus kepada acara individu dan saya berharap Low Zi Yu yang bergandingan bersama Genevie Lim serta Ahmad Redzuan dalam beregu campuran mampu menghadiahkan pingat buat Malaysia,” katanya.

Beregu wanita Genevie-Zi Yu serta gandingan beregu campuran Redzuan-Zi Yu dijangka menjadi sandaran utama negara untuk mencabar dominasi kuasa-kuasa besar Asia pada baki saingan kejohanan. – UTUSAN

Scroll to Top