Muss akui perlu kuat, positif berdepan dugaan

Muss akui perlu kuat, positif berdepan dugaan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Mustaffa Din atau Muss, 58, mengakui dia perlu lebih kuat dan positif dalam menghadapi ujian berhubung kesihatan isterinya, Suraya Bahari, 53, yang kini masih mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Muss berkata, semangat isteri yang begitu kuat membuatkan dia sedar betapa aura positif dibawa insan tersayang itu memainkan peranan sangat penting untuk berjuang kembali sihat dan ia harus dilakukan bersama.

“Isteri saya masih lagi di ICU. Keadaan dia (Suraya) bagaimanapun sebenarnya hampir nak stabil, tetapi masih ada banyak masalah sampingan kesihatan yang lain. Sekarang, paru-paru dia pula dipenuhi air.

“Hari ini, doktor perlu tebuk untuk buat prosedur memasukkan tiub bagi keluarkan air dalam paru-paru dan patut ia sudah selesai sekarang,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada sidang media Konsert Biru Mata Hitamku di hotel di ibu kota, petang tadi.

Terdahulu, difahamkan Suraya menerima rawatan di ICU akibat komplikasi penyakit kencing manis dan kaki kirinya sehingga paras lutut terpaksa dipotong.

Ujar Muss yang juga vokalis kumpulan Barbarik, buat masa ini dia hanya reda sahaja dengan ketentuan Yang Maha Esa dan terus positif dengan dugaan besar yang menimpa kehidupannya dan isteri.

“Apapun, saya amat mengagumi kekuatan semangat isteri saya yang tidak pernah mengeluh atau menunjukkan kesedihan dirasainya atas kesakitan dialami sekarang. Isteri saya memang seorang yang tabah.

“Kalau orang lain, rasanya mungkin sudah tiada semangat itu.Tetapi, dia amat kuat dan sangat positif. Sampai sudah sakit begini pun, isteri saya masih tidak bersikap ‘down’. Memang dia tidak mahu tunjuk sakit, tetapi saya tahu dia mungkin sorok emosi,” katanya.

Pada masa sama, Muss memberitahu untuk setiap keputusan berkaitan rawatan isterinya, dia perlu tenang untuk membuat pertimbangan penuh berdasarkan penjelasan doktor dan semangat daripada ahli keluarga lain.

Mengulas juga pengurusan kerjaya seni, Muss memberitahu memang agak sukar untuk dia memberi tumpuan pada mulanya memandangkan isteri, Suraya adalah tulang belakang dalam segala aktiviti kariernya selama ini.

“Kalau ikutkan saya memang tidak dapat buat kerja juga pada mulanya ketika isteri sakit. Sebabnya, dia adalah ‘runner’ utama saya kerana banyak benda saya hilang kalau dia tiada.

“Tetapi, sekarang ini macam saya kata reda sahaja dan saya ‘go with the flow’ dengan takdir yang sudah Allah tetapkan ini. Mohon doakan yang baik-baik buat kesihatan isteri saya, itu sahaja saya minta,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, Suraya dimasukkan ke Hospital Ampang dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan pada kaki kiri akibat kencing manis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top