Penipuan: 41 'scammer' mengaku tidak salah, 39 orang larikan diri

Penipuan: 41 'scammer' mengaku tidak salah, 39 orang larikan diri

am@hmetro.com.my

Tawau: Seramai 41 warga China yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan insurans dalam talian bersama 39 rakan yang melarikan diri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Semua mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa melakukan pakat jahat jenayah bagi memperdaya mangsa menerusi penipuan insurans melalui panggilan telefon dan video dengan menyamar sebagai anggota polis China.

Perbuatan dilakukan di sebuah pusat peranginan di daerah ini pada 9.25 malam, 7 April lalu, dengan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan bahawa rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan 39 tertuduh yang gagal hadir prosiding sebelum ini dipercayai telah meninggalkan Sabah atau kini berada di Semenanjung Malaysia.

Pada 25 Mei lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos mengeluarkan waran tangkap terhadap 39 daripada 80 tertuduh selepas mereka gagal hadir pada prosiding sebutan semula, selain membatalkan jaminan dan memerintahkan wang jaminan mereka dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Sebelum itu, mahkamah memperketat syarat jaminan terhadap kesemua 80 tertuduh, terdiri daripada 78 warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos, dengan mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah serta mewajibkan mereka melapor diri secara berkala kepada polis.

Situasi turut bertukar kecoh pada prosiding hari ini apabila 29 tertuduh yang tidak diwakili peguam enggan menerima dokumen untuk tujuan perbicaraan yang diserahkan pihak pendakwaan.

Majistret kemudian mengarahkan mereka melantik peguam bagi memastikan proses penyerahan dokumen dapat dilaksanakan mengikut prosedur sebelum ke peringkat perbicaraan seterusnya.

Sementara itu, peguam Jhesseny P Kang bersama Chen Wen Jye yang hadir mewakili 10 tertuduh mengesahkan telah menerima dokumen berkenaan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 Oktober depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top