'Saya hilang kata-kata' – Martinelli

'Saya hilang kata-kata' – Martinelli

Houston: Brazil terselamat daripada kejutan besar apabila bangkit menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia selepas Gabriel Martinelli meledak gol kemenangan pada minit kelima masa kecederaan, hari ini.

Brazil yang akan bertemu pemenang antara Norway dan Ivory Coast di New Jersey, awal pagi esok, mempamerkan aksi lebih baik selepas rehat apabila Jepun terlebih dahulu mengejutkan mereka dan berjaya mengekang jentera serangan juara dunia lima kali itu sepanjang babak pertama.

Gol kemenangan Martinelli pada minit ke-95 hadir di penghujung aksi mendebarkan, sekali gus menjadi jaringan kemenangan paling lewat dalam masa sebenar perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia sejak 1966.

Pemain dan pegawai Brazil meraikan kemenangan penuh emosi di atas padang sejurus wisel penamat ditiup, manakala pemain Jepun hanya mampu menyaksikan dengan penuh kekecewaan.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan ini. Mungkin saya hanya akan benar-benar menyedarinya selepas beberapa ketika.

“Syukur kepada Tuhan kerana saya dapat menjaringkan gol hari ini. Saya sangat gembira untuk pasukan yang berjuang habis-habisan. Saya benar-benar kehilangan kata-kata,” kata Martinelli.

Jepun mengejutkan Brazil pada minit ke-29 menerusi Kaishu Sano yang memintas hantaran lemah Danilo sebelum melakukan larian ke arah gawang dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Alisson Becker, sekali gus menggamatkan penyokong Samurai Blue.

Jepun mempamerkan aksi bertahan yang cukup berdisiplin pada babak pertama apabila berjaya mematahkan setiap gerakan Brazil selain menutup ruang dan menyukarkan lawan mencipta peluang.

Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti nyata berjaya meniup semangat baharu ketika rehat apabila anak buahnya tampil lebih agresif pada babak kedua dengan mencipta banyak peluang dan meningkatkan tempo permainan.

“Kami mempunyai banyak pilihan sama ada di atas padang mahupun di bangku simpanan.

“Jepun bukan lawan yang mudah. Mereka sangat teratur dan bermain dengan intensiti tinggi.

“Saya sebenarnya menyimpan Neymar untuk masa tambahan. Saya bercadang memasukkannya pada minit ke-105 jika kami masih gagal menjaringkan gol kedua. Saya tidak mahu mengubah struktur pasukan kerana kami bermain dengan baik,” kata Ancelotti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top