PORT DICKSON – Rumah Ngaji memainkan peranan sebagai pusat melahirkan lebih ramai ‘pempengaruh’ atau ejen perubahan dalam masyarakat untuk menyelamatkan ummah.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, gerakan Rumah Ngaji diwujudkan atas kesedaran bahawa ramai umat Islam masih belum memahami agama termasuk isi kandungan al-Quran.
Menurut beliau, keadaan itu menjadi antara punca pelbagai masalah yang berlaku dalam masyarakat kerana ajaran Islam tidak dijadikan panduan dalam mengurus keluarga, organisasi dan negara.
“Kita melihat ramai orang Islam dilahirkan sebagai Islam, tetapi tidak membaca al-Quran. Ada yang membaca tetapi tidak memahami dan ada yang memahami tetapi tidak mengamalkannya.
“Apabila al-Quran tidak dijadikan panduan hidup, akhirnya masyarakat hilang arah. Sebab itu kita mesti mulakan satu gerakan untuk orang Islam faham tentang agama dan caranya kembali mendekati al-Quran dengan niat nak faham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Retreat Rumah Ngaji di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Hussamuddin (tengah) bersama peserta program Retreat Rumah Ngaji yang diadakan di Port Dickson.
Hussamuddin berkata, oleh sebab itu Rumah Ngaji bukan sekadar tempat membaca al-Quran, sebaliknya platform untuk orang Islam memahami isi kandungan kitab suci itu dengan lebih mudah menerusi sesi tadabbur yang diadakan.
“Kita mahu orang ramai tidak takut untuk mendekati al-Quran dan berinteraksi dengannya, bukan sekadar membacanya.
“Kalau kita benar-benar memahami al-Quran, insya-ALLAH kita akan menjadi Muslim yang lebih baik,” katanya.
Selain itu, beliau turut menggalakkan individu yang mempunyai rumah atau premis perniagaan yang tidak digunakan untuk menginfakkan kemudahan tersebut untuk dijadikan sebagai Rumah Ngaji.
Tambahnya, mereka yang mahir mengajar al-Quran boleh berganding bahu dengan pemilik premis bagi mewujudkan lebih banyak pusat pembelajaran berasaskan komuniti.
“Kadangkala masjid mempunyai kelas al-Quran, namun lebih banyak diisi dengan ceramah. Sepatutnya setiap masjid juga berfungsi sebagai Rumah Ngaji yang menggalakkan masyarakat membaca, memahami dan mentadabbur al-Quran,” katanya.
Beliau turut mencadangkan setiap Rumah Ngaji mengadakan kelas al-Quran dengan menggunakan modul My#QuranTime, sambil memaklumkan Karangkraf akan menginfakkan satu set modul tersebut kepada setiap Rumah Ngaji sebagai panduan pembelajaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, kali terakhir Retreat Rumah Ngaji diadakan empat tahun lalu dan kali ini berjaya mengumpulkan lebih 60 peserta termasuk daripada Sahabat al-Quran.
Jelasnya, ia menjadi platform penting untuk memperbaharui visi dan misi pertubuhan dalam perjalanan ke arah tahun 1500 hijrah.
“Sekarang ini terdapat 1,340 Rumah Ngaji yang aktif di seluruh Malaysia termasuk di Sabah, Sarawak dan kita berharap dengan kehadiran wakil daripada seluruh negeri ini, mereka akan lebih bersungguh-sungguh untuk membawa misi al-Quran.
“Rumah Ngaji Negeri Sembilan menjadi penyelaras retreat kita kali ini yang mana kali terakhir diadakan pada tahun 2022,” katanya.



