Tanggal uniform bukan penamat! KP JHEV dedah apa manfaat menanti veteran ATM

Tanggal uniform bukan penamat! KP JHEV dedah apa manfaat menanti veteran ATM

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa proaktif mengesan veteran yang memerlukan bantuan menerusi pelbagai program ‘turun padang’ di seluruh negara dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu isu menjadi tular.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Dato’ Semaon Marjuki berkata, usaha itu digerakkan melalui kerjasama persatuan veteran dan pengarah-pengarah JHEV di setiap negeri bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan.

“Kita mencari mereka. Sebab itu kita adakan program-program outreach sama ada melalui persatuan-persatuan veteran dan juga pengarah-pengarah JHEV di negeri-negeri.
“Itulah peranan utama mereka untuk mengesan veteran yang memerlukan bantuan,” katanya dalam program bual bicara OMM Podcast.

Menurut beliau, antara bantuan yang disediakan termasuk skim bina rumah baharu, Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM dan baik pulih rumah kepada veteran yang layak mengikut syarat ditetapkan.

Beliau berkata, bagi Semenanjung Malaysia, inisiatif bina baharu rumah bernilai RM75,000 dengan JHEV menanggung subsidi sebanyak RM55,000.

Manakala veteran yang layak perlu berada dalam kategori pendapatan garis kemiskinan, tidak memiliki rumah pertama serta mempunyai tanah sendiri atau tanah yang mendapat kebenaran pemilik untuk pembinaan.

“Kalau untuk baik pulih rumah pula, kita ada skim sehingga RM17,000 di Semenanjung. Di Sabah jumlahnya RM80,000 dan di Sarawak RM85,000 kerana kos pembinaan di sana lebih tinggi,”  ujarnya.

Dalam masa sama, Semaon yang bertugas lebih empat dekad mengakui cabaran terbesar ketika ini ialah mengesan veteran yang masih belum berdaftar dalam sistem JHEV.

“Persatuan veteran pun berdepan kekangan untuk mencari mereka yang masih belum mendaftar. Sebab itu kita sentiasa menggalakkan mereka tampil mendaftar supaya bantuan yang disediakan dapat disalurkan,” katanya.

Mengulas tanggapan masyarakat terhadap JHEV, beliau berkata, masih ramai yang kurang memahami fungsi sebenar jabatan itu yang bukan sekadar mengurus kebajikan malah turut bertanggungjawab memperkasa sosioekonomi veteran ATM.

Beliau berkata, JHEV yang ditubuhkan pada tahun 2000 kini memasuki usia 25 tahun dan berperanan mengurus pembayaran pencen veteran ATM yang sebelum ini dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Hari ini semua pencen veteran ATM dibayar oleh JHEV.
“Selain itu, kita juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada veteran berpencen dan tidak berpencen,” kongsi Semaon.

Menurut beliau, JHEV kini mempunyai rekod lebih 200,000 veteran ATM dengan lebih 120,000 penerima pencen, manakala jumlah keseluruhan termasuk pencen terbitan menghampiri 150,000 orang.

Beliau berkata, salah satu faktor yang menyebabkan bantuan sukar disampaikan ialah masih terdapat veteran yang tidak mengemas kini maklumat atau tidak berdaftar dengan JHEV serta persatuan veteran.

“Banyak program kita laksanakan seperti Peduli Veteran MADANI, Ziarah Kasih dan Kempen Tabung Pahlawan.
“Kita turun ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, malah ke kawasan pedalaman serta pulau-pulau untuk mencari veteran yang memerlukan bantuan.
“Saya ingin berpesan kepada veteran yang belum mengemas kini data atau belum menyertai mana-mana persatuan supaya segera berbuat demikian agar bantuan yang disediakan kerajaan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Semaon berkata, JHEV turut bekerjasama rapat dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (PERHEBAT) serta pelbagai agensi bagi meningkatkan kebolehpasaran veteran selepas tamat perkhidmatan.

Beliau berkata, kerjasama bersama TalentCorp, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan syarikat swasta telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada veteran menerusi program latihan dan penempatan kerja.

“Sebagai contoh, program bersama Micron di Pulau Pinang melibatkan hampir 30 veteran dan bakal pesara.
“Mereka menjalani latihan di PERHEBAT dan syarikat sebelum diserap terus sebagai pekerja. Majikan amat berpuas hati kerana veteran mempunyai disiplin yang tinggi dan mudah dilatih,” katanya.

Tambahnya, JHEV turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk Work-Based Learning (WBL), ProWira atau protege ATM, Ready To Work (RTW) Graduan serta program upskilling dan reskilling dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi.

“Kerajaan menanggung kos latihan dan elaun peserta. Matlamat kita ialah memastikan veteran mempunyai kerjaya kedua selepas bersara serta terus mampu menjana pendapatan,” tambahnya.

Jelasnya, masyarakat juga perlu memahami bahawa tidak semua veteran berada dalam lingkungan usia tua kerana ramai anggota lain-lain pangkat bersara sekitar usia 39 tahun selepas menamatkan tempoh perkhidmatan.

“Bayangkan seseorang bersara pada umur 39 tahun. Dia masih ada lebih 20 tahun lagi sebelum umur persaraan biasa.
“Mereka masih kuat bekerja, tetapi pada masa sama perlu menyara keluarga, membayar rumah dan membiayai persekolahan anak-anak.
“Sebab itu program-program ini sangat penting, khususnya kepada veteran berusia 50 tahun ke bawah, supaya mereka mempunyai peluang pekerjaan dan dapat meningkatkan sosioekonomi selepas menamatkan perkhidmatan,” jelasnya lagi.

Scroll to Top