BN nafi terlibat rosakkan bahan kempen PH

BN nafi terlibat rosakkan bahan kempen PH

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) menafikan sebarang penglibatan gabungan tersebut dalam insiden kerosakan bendera dan bahan kempen Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan BN Johor, Md Israk Abdullah berkata, BN negeri tidak pernah mengarahkan, menggalakkan atau merestui politik vandalisme.

“Kita berkempen secara matang, berfakta dan berdisiplin. Jangan ada pihak cuba mengambil kesempatan menjadikan insiden ini sebagai modal untuk memburukkan nama BN tanpa bukti yang jelas.

“Kita minta pihak berkuasa menyiasat perkara ini secara telus supaya pelaku sebenar dikenal pasti, sama ada ia perbuatan individu tidak bertanggungjawab atau cubaan mencipta persepsi buruk terhadap BN,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya ada mana-mana pihak mengaitkan BN secara fitnah dengan insiden itu, BN Johor tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis bagi mempertahankan nama baik parti.

Pada Isnin, beberapa billboard yang memaparkan poster calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N35 Pasir Raja, Fakharuddin Moslim di tepi jalan di Kota Tinggi dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Turut dikesan 10 bendera PH bagi kerusi N28 DUN Mengkibol dan tiga keping papan gambar calon PH ditemui dirosakkan serta dibuang pihak tidak bertanggungjawab di Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, bahan kempen tersebut ditemui dalam longkang di Jalan Chong Hwa dan Jalan Aman, Taman Aman di sini pada Ahad.

Scroll to Top