harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover dipercayai terbabas lalu terjunam ke dalam sungai selepas cuba mengelak haiwan di Jalan Hulu Langat, di Dusun Tua, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu SUV terbabit 12.24 tengah hari.
“Siasatan mendapati kenderaan dipandu warga tempatan berusia 48 tahun bersama seorang penumpang warga tempatan berusia 45 tahun dalam perjalanan dari Hulu Langat menghala ke Johor.
“Ketika melalui lokasi kejadian jam 3.30 pagi, pemandu cuba mengelak haiwan melintas jalan lalu hilang kawalan menyebabkan kenderaan dipandu terjatuh ke dalam Sungai Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu dan penumpang berjaya keluar dengan selamat melalui bumbung SUV tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, kemalangan mengakibatkan SUV berkenaan rosak, namun tidak membabitkan kenderaan lain atau harta benda awam di lokasi kejadian.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Sarjan Khairul Ismail di talian 011-33210917.
“Pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati semasa memandu,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial gambar sebuah SUV jenis Range Rover terdampar di Sungai Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, di Hulu Langat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




