am@hmetro.com.my
Larut: Lebih 300 penduduk Kampung Batu 6, Bukit Bertam, di sini, membantah cadangan pembinaan ladang ternakan ayam baharu yang didakwa akan memburukkan lagi masalah lalat dan pencemaran yang sudah lama mereka hadapi.
Penduduk, Bahayah Wan Ali, 64, berkata rumahnya hanya 200 meter dari tapak projek dan sering dipenuhi lalat sehingga menjejaskan keselesaan dan aktiviti harian keluarga.
“Masalah sekarang pun sudah teruk berpunca daripada reban ayam sedia ada. Bila musim perayaan dan anak-anak balik berkumpul di rumah, makanan sentiasa dihurung lalat.
“Takkan kami nak makan sampai pakai kelambu? Kami terpaksa tutup pintu dan tingkap, tetapi sampai bila kami nak hidup macam tahanan dalam rumah sendiri?.
“Ramai penduduk membeli tanah dan mahu membina rumah di kawasan ini termasuk saya untuk anak-anak namun kini terpaksa ditangguhkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Dia mendakwa penduduk tidak dimaklumkan secara terperinci termasuk Majlis Daerah Selama (MDS) mengenai projek berkenaan dan hanya menyedari perkara itu selepas kerja di tapak dimulakan.
“Bantahan sudah dikemukakan kepada pihak berkaitan, namun tidak mendapat perhatian sewajarnya. Kami dimaklumkan projek itu menggunakan teknologi moden dan mesra alam namun kami tetap membantahnya.
“Banyak janji yang pernah diberikan sebelum ini termasuk menggunakan sistem moden namun penduduk yang menanggung kesannya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kampung Batu 6, Bukit Bertam, Ramli Ahmad, 65, berkata MDS meluluskan permohonan kebenaran merancang projek itu pada 14 Mac 2025 dan penduduk mengemukakan bantahan pada 11 Julai 2025 kepada pelbagai pihak termasuk MDS dan Menteri Besar Perak.
“Kami hanya mengetahui mengenai projek ini selepas kelulusan diberikan. Sebelum itu tiada sebarang sesi libat urus atau perbincangan dengan penduduk kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Penduduk bimbang kerana tapak projek terlalu hampir dengan kawasan penempatan sehingga boleh membawa kepada risiko pencemaran, masalah lalat dan kesan terhadap kesihatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




