Siti Nurhaliza terharu sokongan, pengorbanan peminat

Siti Nurhaliza terharu sokongan, pengorbanan peminat

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, mengaku berasa terharu, dihargai dan kelakar melihat gelagat peminat-peminatnya yang mula berkongsi hantaran video menyahut cabaran ‘battle’ tiket Konsert Tradisional Gema Bumantara di media sosial.

Menurut Siti, beliau sangat bersyukur apabila sehingga kini sentiasa mendapat sokongan padu serta berterusan daripada peminat-peminat terhadap setiap konsert berskala besar yang dianjurkan dan membabitkan dirinya.

“Ya, saya rasa terharu ada, hendak menangis pun ada dan kelakar juga. Sebab ada antara peminat itu saya tengok sanggup buat cabaran dan rakam video momen mereka ‘battle’ mendapatkan tiket yang dikongsi di media sosial.

“Bahkan, saya pun sempat tengok di Threads ada antaranya (peminat) yang yakin sangat tetapi bila hujung-hujung kena juga ditolak. Jadi, bila lihat perkara itu buat saya rasa ia sangat mendebarkan,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Siti ditemui ketika hadir pada pelancaran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Projek Cuckoo Loves, Care’ dan pelancaran lagu baharu, Be Like Water dalam bahasa Mandarin yang dinyanyikannya bersama penyanyi dikenali Firdhaus hari ini.

Berbicara lanjut mengenai konsert itu, Siti berkongsi sebagaimana sudah diumumkan di media sosialnya baru-baru ini, Konsert Tradisional Gema Bumantara berkenaan bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.

“Daripada apa yang sudah diumumkan mengenai penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara, saya lihat memang sokongan daripada peminat sangat baik termasuk pengorbanan mereka untuk terus berusaha hadir menyaksikan persembahan saya dengan tiket dibeli.

“Jadi, apa yang saya boleh janjikan adalah cuba memastikan dapat memberi persembahan terbaik sekali gus tidak akan mengecewakan mereka. Saya mahu mereka (peminat) rasa berbaloi dengan harga tiket dibeli itu.

“Apapun, saya sebenarnya lebih kepada rasa terharu yang teramat sangat sebab rakyat Malaysia kita ini terutama peminat-peminat saya tidak pernah berhenti memberikan sokongan terbaik mereka.

“Oleh itu, memang boleh ditengok kesungguhan mereka bila betul-betul sanggup menyimpan (duit) untuk beli tiket konsert saya. Jadi, untuk itu saya memang tidak boleh nak hampakan mereka yang akan datang menonton nanti,” katanya.

Ditanya juga tindakan peminatnya yang dikatakan sanggup berusaha mendapatkan tiket konsert dengan mengeluarkan duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Siti memaklumkan beliau sama sekali tidak menduga.

“Saya tahu mengenai hantaran dibuat berkenaan duit KWSP untuk beli tiket konsert oleh seorang individu itu dan saya ada membalas di ruangan komennya sebagai tanda menghargai sokongan yang diberikan.

“Maka, disebabkan itu saya bertekad di dalam hati untuk berusaha memastikan peminat yang datang ke konsert saya tidak akan berasa hampa dengan membuat terbaik untuk mereka. Saya ingin mereka (peminat) terhibur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti juga menyifatkan penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara berkenaan dianjurkannya bukan sekadar memenuhi impian peribadi, tetapi ia juga sebahagian daripada usaha dirinya mengangkat budaya tempatan ke pentas lebih besar.

Sebelum ini, Siti membuat pengumuman mengenai penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara yang bertemakan mengangkat lagu irama asli itu menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top